Wednesday 16 August 2017

Kimbap dan Onigiri



Orang Korea panggil kimbap.


Orang Jepun panggil onigiri.


Konsepnya sama. Nasi kepal berinti lauk.


Kimbap antara makanan tengahari ruji saya semasa bekerja di Korea. 


Kadang-kadang tiada teman makan. Rakan sekerja mat saleh selalu bawa salad buatan sendiri. Atau pun mereka hanya makan donut dan kopi. 


Yang Korean pergi makan di kantin syarikat. Mereka ada kupon subsidi. Selalunya tiada pilihan yang boleh Muslim makan.


Yang Algerian selalunya balik ke apartmen. Masak sendiri. Ataupun mereka ke Itaewon membeli kebab. Hanya sekali sekala saya ikut. Perjalanannya jauh. Rasa banyak masa terbuang.


Jadi, kimbap menjadi alas perut jika tidak membawa bekal.


Yang ini saya beli di La Juiceria Avenue K. Sebelum masuk ke Stesen LRT KLCC, mesti nampak kedai ini yang terletak di bawah eskalator Avenue K. Satu kimbap harganya RM3.99. Ada pelbagai jenis inti lauk. 


Selamat menjamu selera!


Saya yang dah kenyang,

Noorfiza Ayu


#SiPetiteNomad 

#ACinPM 

Tuesday 15 August 2017

Hubungan Anak dan Ibubapa Tiada Putusnya

14 August 2017. Akhirnya setelah tujuh bulan berhempas pulas mengubahsuai rumah, tiba masanya kami berpindah.

Terima kasih abah dan emak sanggup tinggalkan urusan sendiri untuk teman kami walau sekejap. 

Hakikat hidup. Anak-anak tu, walaupun dah besar panjang, pandai berdikari, dah berumahtangga, ada suami isteri anak-anak sendiri, jauh di sudut hati masih ingin 'bermanja' dengan ibubapa mereka.

Tidak kira cara apa sekalipun. 

Nanti saya kongsikan beberapa pengalaman dan pengajaran yang kami suami isteri kutip sepanjang proses renovasi rumah kami. 

Semoga boleh menjadi iktibar dan manfaat buat pembaca.

Mohon undur diri dulu untuk sambung mengemas dan berehat.

Selamat malam.

Catatan oleh:
Noorfiza Ayu Azmi
Penulis #SiPetiteNomad

Banjir dalam rumah

Facebook minta kongsikan bagaimana hari saya berlalu. Saya kongsikan juga di sini buat tatapan pembaca blog.

Pagi sebelum subuh pintu bilik diketuk bertalu-talu. Sayup bunyinya bagaikan dalam mimpi. 

Penat seharian belum hilang. Dimulai dengan membungkus barang-barang. Kemudian mengangkut naik ke rumah. Sambung pula mengemas mana yang terlarat. 

Fikiran cuba menangkap sama ada ketukan pintu itu mimpi atau realiti.

Sah itu suara abah di luar. Yang mengetuk pintu itu abah. Kedengaran juga bunyi air menderu bagaikan air terjun. 

Saya bingkas bangun daripada katil menerpa ke pintu. 

"Kenapa abah?"
"Banjir ni. Air melimpah dari tangki. Suis utama air di mana?"

Suami saya pun menyusul keluar dari bilik membantu abah mencari paip utama. 

Saya keluar rumah ingin mencari kotak kain buruk. Alhamdulillah betul-betul duduknya di tepi pintu. Tak perlu saya membongkar lautan kotak yang penuh berisi. 

Satu persatu kain buruk saya letak ke lantai, di luar pintu bilik air. Ada yang saya campak berhampiran dengan tempat emak berdiri. Emak membantu menyusun kain buruk untuk menghalang air sampai ke permaidani.

Penuh lantai di hadapan bilik air dilitupi kain buruk. 

Macam-macam perkara bermain dalam fikiran. Nasib baik perkara ini terjadi semasa suami, abah dan emak ada bersama di rumah. Tidaklah panik menghadapinya. 

Ini kali kedua pengalaman saya banjir di dalam bangunan. Kali pertama semasa di hotel Hilton London. Berseorangan. Lebih panik pastinya. Saya ceritakan di entri lepas.

Abah kata, "Tenanglah. Biasalah baru masuk rumah."

Sudahnya, hari ini kami terpaksa ambil cuti untuk pastikan kisah ini tidak berulang.

Yang tidak panik sangat,
Noorfiza Ayu
Bakal menulis kisah #SiPetiteNomad