Monday 13 February 2017

Cara Mendapatkan Kulit Kaki Yang Mulus

Teks dan Foto: Noorfiza Ayu Azmi
Email: noorfizaayu@gmail.com
Blog: www.noorfizaayu.blogspot.com

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat semua pengunjung blog ini.

Hari ini kita bercerita tentang kaki. Anggota badan yang selalunya paling kurang mendapat perhatian. Biarpun kakilah antara yang paling banyak berjasa.

Ada tumit yang dibiarkan merekah. Ada pula kuku menjadi cagu. Paling tidak sedap dipandang kuku dibiar panjang tidak dipotong. Tidak kurang yang kulitnya dibiar kering dan kasar. Malah ada yang berbau.

Kasihan kaki.

Apa kata kita tanam azam untuk berubah mulai hari ini. Ada cara untuk mendapatkan kulit kaki yang mulus. Tidak perlu berbelanja lebih untuk ke spa membuat rawatan pedicure. Buat sendiri sahaja.

Caranya dengan menggunakan mask untuk kaki.

Saya mula mengenali mask untuk kaki ketika bertugas di Korea. Orang Korea bukan hanya memakai mask di muka, malah tangan dan kaki juga turut diberi perhatian. Pendek kata penjagaan kulit badan secara menyeluruh.

Ini peeling foot mask yang saya sering gunakan. Jenama Nature republic.



Jenama lain yang saya pernah jumpa adalah dari The Face Shop. Kalau guna kaki anda akan menjadi selembut bayi.


Di Jepun juga terkenal dengan foot mask. Boleh cari jenama Baby Foot. Kulit kaki sahaja yang akan menjadi seperti bayi. Umur tidak ye.


Cara menggunakan peeling foot mask ini semua sama. Sarungkan mask yang berbentuk seperti sarung kaki ke kedua belah kaki anda.

Biar selama 20 ke 40 minit. Kebiasaannya saya biarkan semalaman kerana saya pakai sebelum tidur.

Buang mask.

Anda tidak akan melihat hasil serta merta.

Dalam tiga hari atau seminggu kemudian, anda akan dapati kulit anda akan beransur-ansur merekah seperti gambar di bawah.

Kaki anda melalui proses bersalin kulit. Sel kulit mati akan tertanggal dan hasilnya anda akan mendapat kulit yang mulus seperti bayi.






Cubalah.

Sekian.

Ayu.

Sunday 12 February 2017

Apabila Sudah Bermula, Wajib Diselesaikan

Teks: Noorfiza Ayu Azmi; Foto: Google
Email: noorfizaayu@gmail.com
Blog: www.noorfizaayu.blogspot.com

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat semua pengunjung blog ini.



Alhamdulillah. Tiba juga saya ke entri yang ke-44 walaupun lewat dua hari daripada tarikh akhir kelas.

Kelas Tutorial Asas Blog dan Penulisan kelolaan Puan Masayu Ahmad dari Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR) adalah kelas kedua yang saya sertai dalam misi memahirkan diri untuk menulis. Saya mula sertai kelas ini pada 10 Januari 2017 dan berakhir pada 10 Februari 2017. Dalam masa lebih kurang 30 hari ini, para peserta diwajibkan untuk menyiapkan 44 entri di blog baru masing-masing. 

Saya mengenali ABDR melalui kelas Tulis, Terbit dan Tuju yang saya hadiri pada 20 November 2016 kelolaan guru dan mentor penulisan terkenal, Tuan Zamri Mohamad. 

Sejak saya pulang dari bekerja di luar negara dan atas permintaan keluarga untuk tidak ke luar negara lagi, saya bercita-cita untuk berkongsi pengalaman saya. Pada mulanya saya mula berkisah dengan saudara-mara, rakan-rakan dan teman sekerja apabila mereka bertanya pengalaman saya. Ada yang mencadangkan agar saya abadikan cerita-cerita tersebut sebagai karya travelogue agar dapat memberi manfaat kepada khalayak yang lebih besar. Lebih-lebih lagi kepada adik-adik yang masih di sekolah dan universiti. Juga kepada mereka yang baru menjejakkan kaki ke alam pekerjaan. Mungkin juga boleh menjadi rujukan kepada mereka yang bakal ke negara-negarat tersebut atas sebab apa sekalipun.

Mungkin ada di antara adik-adik yang masih tertanya-tanya kenapa perlunya belajar itu dan ini? Adakah kesemua yang dibelajar akan digunakan nanti? Apakah relevannya sesetengah mata pelajaran itu dan adakah akan dipraktikkan dalam kerjaya kelak? Bidang apa yang perlu diceburi? Apa yang perlu dilakukan untuk mencapai kepuasan dalam kerjaya? Apa faktor 'X' yang dicari majikan dalam perkerjanya? Bagaimana untuk memenangi hati majikan? Bagaimana mengimbangi masa antara kerjaya dan keluarga tatkala berkerja di luar?


Ini semua adalah soalan-soalan yang pernah bermain di fikiran saya dahulu. Sedikit demi sedikit terjawab sepanjang perjalanan hidup saya setakat ini.

Namun untuk menulis buku adalah suatu yang sangat besar komitmennya. Saya masih daif kosa kata Bahasa Melayu. Tidak juga yakin dengan gaya penulisan sendiri.

Tuan Zamri mencadangkan agar mula berlatih menulis tanpa henti. Menulislah di mana sahaja. Di Facebook. Di blog. Mahupun catatan harian. Ia dapat mengasah kemahiran menulis dan membantu meperkaya kosa kata. 

Saya sudah mempunyai dua blog sebelum ini yang saya bina sendiri. Tetapi kerana tiada panduan dan motivasi, blog tersebut hanya mempunyai dua ke tiga entri. Lama tidak disentuh.

Oleh itu saya bertekad kali ini saya harus mulakan dengan betul. Saya perlu berguru. Melalui proses pembelajaran yang berstruktur, langkah demi langkah. Saya perlu berada dalam komuniti yang mempunyai matlamat yang sama untuk meminjam aura dan meraih inspirasi. 

Saya dah tidak punya banyak masa untuk bereksperimen dan bermain-main. Umur saya makin meningkat. Tidak ada ruginya saya melabur untuk ilmu. Sekurang-kurangnya jika saya gagal di tengah jalan, saya tidak terkilan tidak mencuba.

Inilah titik tolak bagaimana saya bermula dengan Kelas Tutorial Asas Blog dan Penulisan. 

Walaupun kelas dijalankan secara online, guru kami Puan Masayu Ahmad sentiasa memantau perkembangan setiap muridnya. Kami diingatkan hampir setiap hari untuk membuat catatan harian. Kami menerima tips untuk menulis dengan baik dan membina blog yang berpengaruh. Juga diberi tips untuk meletakkan tajuk yang sesuai pada setiap entri. 

Bonusnya, kami dapat menambah kenalan daripada pelbagai bidang. Ini sangat membantu untuk mengekalkan momentum dan memperoleh sokongan moral dalam mencapai impian masing-masing.

Berikut adalah tips dari Puan Masayu Ahmad yang sentiasa segar dalam ingatan saya:

"Miskin idea.
Fokus apa kekuatan penulisan.
Setiap orang sangat berbeza keupayaan kefahaman.
Dalam penulisan juga sama. Ada banyak gaya.
Jadi 8 soalan analisa adalah sangat penting untuk melihat halatuju penulisan.
8 soalan yang sama. Tetapi jawapan adalah berbeza.
Sudah tentu tidak boleh meniru rakan sebelah.
Kalau meniru itulah namanya plagiat.
Miskin idea, apabila copy paste bahan orang lain dan penuhi di ruang status di facebook dan juga blog.
Kita memang miskin kalau setiap hari kerjanya copy dan paste.
Terus tekan butang share.
Jika berkongsi letak siapa penulis sebenar, rujukan sebenar."


"Tidak tahu mahu tulis apa.
Sesat.
Tulis dan latih tubi catatan harian.
Tulis seperti diari.
Ejaan penuh.
Apa aktiviti sepanjang hari.
Ambil masa 10 minit setiap hari dari masa 24 jam.
Selepas solat subuh atau selepas baca quran.
Jadikan tabiat selama 40 hari.
Tulis mengikut format karangan SPM. Mahu tulis ikut format UPSR pun boleh.
Apa yang penting TULIS. Jangan tinggal atau PONTENG walau sehari.
Latih tubi di atas sangat penting bagi kalian yang baru mula semula menulis.
Latih tubi selama 44 nota pertama. 10 hari pertama adalah kejung, 10 hari berikutnya adalah kebiasaan baki seterusnya adalah waktu bertahan.
Apabila MULA, WAJIB sampai selesai. Wajib sampai garis penamat."
Doakan momentum saya kekal dan saya tidak kecundang dalam 'The Dip'. Moga-moga impian saya untuk mempunyai karya sendiri menjadi kenyataan.

Semoga guru saya menghalalkan ilmu yang dicurahkan kepada saya dan rakan-rakan yang lain.

Sekian.

Ayu

Apa itu PMI dan PMBOK dalam Pengurusan Projek

Teks: Noorfiza Ayu Azmi
Email: noorfizaayu@gmail.com
Blog: www.noorfizaayu.blogspot.com

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat semua pengunjung blog ini.

Sebagai seseorang yang berkecimpung dalam bidang pengurusan projek, anda perlu tahu apa itu PMI dan PMBOK.

PMI atau nama penuhnya Project Management Institute adalah sebuah badan yang ditubuhkan bukan untuk meraih keuntungan, tetapi menyelia piawaian pegurusan projek secara global. Ia adalah sebuah persatuan yang menyatukan mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam pengurusan projek dari seluruh dunia. Anda boleh menjadi ahli PMI untuk membina rangkaian dalam bidang ini, mengikuti perkembangan semasa dan memperoleh pensijilan profesional.

Anda boleh melayari https://www.pmi.org/ atau http://www.pmi.org.my/ untuk mengetahui lebih lanjut mengenai PMI dan PMI Malaysia Chapter.

Logo Project Management Institute Global

Logo Project Management Institute Malaysia Chapter


PMBOK atau nama penuhnya Project Management Body of Knowledge adalah koleksi proses, amalan pengurusan projek terbaik, istilah dan panduan yang diterima sebagai piawaian dalam industri pengurusan projek.

Berikutan ilmu pengetahuan dalam industri ini sentiasa berkembang berdasarkan penemuan-penemuan baru oleh para pengamal, PMI mengambil inisiatif mengemaskini PMBOK dan menyebarkan kepada khalayak global.

Edisi pertama PMBOK diterbitkan pada tahun 1996. Edisi terkini adalah yang kelima dan diterbitkan pada tahun 2013.



Sekian.

Ayu

Saturday 11 February 2017

Pengalaman Cemas di London

Teks: Noorfiza Ayu Azmi; Foto: Google
Email: noorfizaayu@gmail.com
Blog: www.noorfizaayu.blogspot.com

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat semua pengunjung blog ini.



Saya ingin membawa anda semua ke satu situasi.

Bayangkan anda sedang nyenyak tidur di atas sebuah katik empuk di sebuah hotel empat bintang. Jam menunjukkan pukul dua pagi. Cuaca di luar yang sejuk tidak terasa dek kerana gebunya selimut yang menyelimuti tubuh anda.

Tiba-tiba siren kecemasan berbunyi bertalu-talu. Kedengaran hiruk pikuk suara manusia berlari-lari di luar kamar. Tidur anda terganggu. Apakah yang anda akan lakukan? Terus tidur atau bangkit daripada katil yang empuk untuk mengambil tahu apa yang berlaku?

Inilah yang pernah terjadi dalam hidup saya.

Ketika itu saya berkelana seorang diri. Singgah satu malam di Kota London sebelum melanjutkan perjalanan ke destinasi seterusnya. Saya menginap di Hotel Hilton Paddington.

Apa yang telah terjadi?

Dalam mamai masih terbuai mimpi, saya turun dari katil, mencapai tudung dan melilit ringkas di kepala. Sebaik sahaja membuka pintu, terkejut saya melihat air bertakung di hadapan bilik selang dua pintu dari bilik saya. Seorang lelaki yang hanya berjubah mandi berdiri bercekak pinggang tidak jauh dari situ.

"Excuse me Sir. What has happened?"

"A pipe has broken while I was having shower. Now my room is flooded with water. You should evacuate the building now while they resolve the problem."

Rupa-rupanya paip di bilik mandi kamar tersebut telah pecah dan membuatkan separuh daripada tingkat yang kami duduki banjir. Ketika saya enak dibuai mimpi, air telah pun melimpah ke kamar saya. Separuh permaidani telah basah. Saya sungguh tidak sedar.

Bergegas saya ambil beg sandang yang mengandungi komputer riba syarikat dan beberapa dokumen penting termasuk passport dan dompet. Saya terpaksa mengharungi air separas buku lali menuju ke pintu kecemasan.

Di situ sudah ada petugas hotel yang menanti. Beliau membantu saya keluar daripada bangunan hotel. Agak mencabar kerana kebanyakan pintu sudah terkunci secara automatik. Mujur juga ada walkie talkie untuk beliau berhubung dengan petugas yang lain.

Setiba di luar bangunan, cuaca sejuk mencucuk hingga ke tulang. Saya pula dalam keadaan mamai terlupa untuk mengambil jaket. Saya berlari-lari setempat untuk menghilangkan kesejukan. Ramai juga yang senasib dengan saya pada malam itu.

Lebih kurang 30 minit kemudian, kami dibenarkan masuk ke dalam bangunan.

Saya tidak dibenarkan ke bilik saya. Mereka memberikan saya bilik Suite sebagai gantirugi. Barang-barang saya akan dikemaskan dan dihantar ke Suite tersebut. Mujur juga saya belum mengeluarkan barang-barang daripada bagasi. Sesampai di hotel tadi saya terus mencuci muka, solat dan menukar baju dengan pakaian yang hanya dari beg sandang.

Sepanjang menunggu di luar bangunan, saya terfikir jika apa-apa terjadi kepada saya, siapa di Kota London ini yang boleh saya hubungi? Betul saya ada beberapa orang kawan, namun saya tiada nombor telefon mereka di London.

Sungguh ia menjadi satu pengajaran kepada saya untuk lebih bersedia dalam keadaan seperti ini. Jangan tidak tahu saya juga sering tidur dengan tudung sebagai langkah berjaga-jaga.

Apapun yang penting, sentiasalah bertawakal kepada Allah. Hanya Dia tempat kita mengadu dan bergantung harap.

Sekian.

Ayu

Terung Masak Sambal ala Ayu

Teks dan Foto: Noorfiza Ayu Azmi
Email: noorfizaayu@gmail.com
Blog: www.noorfizaayu.blogspot.com

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat semua pengunjung blog ini.

Minggu lepas sempat saya terjun ke dapur menyelamatkan terung daripada terbuang kerana hampir rosak.

Terung yang sudah hampir kecut akhirnya berjaya diselamatkan

Terung tersebut telah selamat dimasak bersama sambal sebagai lauk makan malam. Oleh itu, ingin saya berkongsi langkah-langkah membuat terung sambal ala Ayu.

Bahan-bahan yang diperlukan adalah:

1 biji Terung
3 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
Cili kering yang telah dibuang cili, direbus dan dikisar
Sedikit ikan bilis
Sedikit udang kering
3 sudu besar air asam jawa
Sedikit belacan
Gula
Garam
Minyak masak

Langkah-langkahnya:

1. Buang pangkal terung. Belah terung menjadi empat bahagian. Rendam dalam air supaya ia tidak lebam.


2. Kupas bawang besar dan bawang putih. Kisar kasar.
Tips: Lebihkan bawang besar jika inginkan lebih banyak sambal dan rasa sambal yang manis bawang.




3. Panggang terung tanpa minyak. Balik-balikkan terung sehingga menjadi separa lembut.





4. Sementara terung dipanggang, basuh ikan bilis dan udang kering. Rendam dalam satu ke dua minit untuk melembutkannya.



5. Apabila terung sudah separa lembut, angkat dan ketepikan.

6. Sangai ikan bilis dan udang kering sehingga kering. Masukkan sedikit minyak dan goreng hingga garing.
Tips: Seeloknya gunakan ikan bilis mata biru yang halus. Rasa rangupnya membuatkan sambal lebih menyelerakan.




7. Angkat dan satukan ikan bilis dan udang kering goreng bersama terung panggang.



8. Tumis bawang kisar dengan sedikit minyak.



9. Apabila sudah naik bau, masukkan dua sudu besar cili kisar. Masak sehingga pecah minyak.
Tips: Sukatan cili ikut tahap kepedasan anda


Sambal sudah pecah minyak

10. Masukkan air asam jawa.

Air asam jawa



11. Masukkan belacan, garam dan gula secukupnya.

Belacan

Gula

Garam

12. Gaul sambal bagi sebati segala rasa. Perhatikan sambal akan bertukar warna menjadi sedikit gelap kerana gula telah caramelised. Jika perlu, rasa sambal anda untuk memastikan keseimbangan rasa masam, manis dan masin.



13. Setelah berpuas hati, masukkan terung panggang bersama ikan bilis dan udang kering goreng ke dalam sambal. Gaul sebati.



14. Hidangkan buat santapan tengah hari atau makan malam.

Gambar terlebih cahaya

Gambar terkurang cahaya

Selamat mencuba dan menjamu selera.

Sekian.

Ayu

Bengkel PDMS 3D Model

Teks: Noorfiza Ayu Azmi; Foto: Google
Email: noorfizaayu@gmail.com
Blog: www.noorfizaayu.blogspot.com

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat semua pengunjung blog ini.

Contoh gambaran 3D Model

Sesebuah projek pembinaan akan melalui fasa Front End Engineering Design (FEED) dan Detailed Enginnering.

Di fasa ini, apabila kerja-kerja rekabentuk paip siap pada peratusan yang telah dipersetujui, kebiasannya pada tahap 30%, 50% dan 90%, satu sesi atau bengkel Plant Design Management System (PDMS) 3D Model akan diadakan.

Bengkel ini dihadiri oleh ahli pasukan projek itu sendiri yang terdiri daripada jurutera pelbagai disiplin termasuk tim operasi.

Objektif bengkel ini adalah untuk mendapat maklum balas, komen dan menyemak kesesuaian rekabentuk paip serta susun atur mesin, jentera dan peralatan. Ini untuk memastikan ruang yang cukup untuk kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaran dari aspek keselamatan dan ergonomik. Model struktur pembinaan dalam bentuk 3D akan ditayangkan satu persatu bagi member gambaran kepada mereka yang hadir.

Contoh 3D Model boleh dilihat di dalam klip video dari You Tube ini: https://www.youtube.com/watch?v=jqIt4yulmCM&t=333s

Awal bulan Januari yang lepas, saya telah menghadiri bengkel 50% PDMS Review untuk salah sebuah projek yang saya sedang pantau.

Sekian.

Ayu

Kosmetik Korea Percuma

Teks dan Foto: Noorfiza Ayu Azmi
Email: noorfizaayu@gmail.com
Blog: www.noorfizaayu.blogspot.com

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Diharap semua pengunjung blog ini dalam keadaan sihat, bahagia dan ceria serta cantik, comel dan tampan bak artis-artis K-pop. Hari ini saya nak bercerita tentang barangan kosmetik Korea.

Sekitar tahun 2011 dan 2012, saya pernah dihantar bekerja di Seoul, Korea Selatan selama lebih kurang setahun. Ketika itu saya memegang jawatan sebagai Interface Coordinator. Antara tugas saya adalah menyelia kerja-kerja Detailed Engineering dan Procurement yang dijalankan oleh Kontraktor projek kami, Hyundai Engineering Company (HEC).

Saya tinggal di sebuah apartment di Yeouido, sebuah pulau kecil di dalam bandaraya Seoul. Yeouido yang terkenal sebagai pusat kewangan diberi nama jolokan 'Little Manhattan' kerana di sinilah letaknya ibu pejabat bank-bank terkemuka di Korea Selatan.

Sepanjang berada di sana, saya mula jatuh hati dengan barangan kosmetik dan penjagaan kulit buatan Korea. Terdapat banyak pilihan sehingga rambang mata dibuatnya. Kebanyakan produk-produk dihasilkan daripada bahan semulajadi yang organik dan tidak mengandungi banyak bahan kimia.

Disebabkan persaingan yang sengit antara pelbagai jenama, kedai-kedai yang menjual kosmetik sering memberikan sampel percuma kepada pengunjung terutama kepada para pembeli. Pembungkusan produk yang unik dan comel juga menjadi tarikan pembeli. Jangan tidak tahu, ada sesetengah produk yang saya beli semata-mata kerana bentuknya yang comel sebagai koleksi peribadi. Boleh jatuh muflis kalau saya tinggal lebih lama di sana.

Saya masih menyimpan pelbagai sampel produk kosmetik dan penjagaan kulit dari Korea yang saya dapat sepanjang bekerja di sana. Bayangkan sudah masuk empat tahun. Mungkin ada yang sudah luput tarikh. Ada juga produk yang tidak sesuai untuk digunakan di negara kita yang suhunya panas sepanjang tahun.

Jadi, sudah sampai masanya untuk saya berpisah dengan koleksi saya ini. Sebelum mereka berpindah ke tong sampah, ingin saya abadikan koleksi itu di blog ini sebagai kenang-kenangan.

Sampel pelbagai produk penjagaan kulit dan kosmetik dari Korea 

Sampel pelbagai produk penjagaan kulit dari Korea
Koleksi sampel yang disusun mengikut aturan penjagaan kulit bermula daripada pencuci, toner, pelembap, serum/essence, krim pelindung matahari, BB Cream dan topeng muka

Wanita di Korea sangat disiplin dalam penjagaan kulit mereka. Ritual harian wajib di waktu pagi dan malam adalah pembersih, toner, essence, serum dan pelembap. Di sebelah malam, mereka menambah ‘sleeping mask’ sebagai langkah terakhir untuk memastikan nutrien daripada produk yang diguna dapat diserap oleh kulit dengan lebih efektif.

Contoh sampel 'sleeping mask'

Mereka juga tidak akan meninggalkan rumah tanpa memakai krim pelindung matahari atau 'sun block'. Di Korea, walaupun cuaca sejuk, tapi sinaran UV sangat tinggi. Tidak pelik jika melihat kebanyakan produk mereka mempunyai SPF yang agak tinggi, lingkungan 30 SPF ke atas.

Contoh sampel krim pelindungan matahari dengan SPF 45 dan SPF 50

Antara jenama terkenal adalah Etude House, It's Skin, Innisfree, TonyMoly, Nature Republic, Face It, Missha, The Saem, Banila Co., Holika Holika, The Face Shop dan banyak lagi. 

Saya sendiri pernah mencuba beberapa produk daripada jenama-jenama di atas. Produk Etude House kegemaran saya adalah pencuci muka Wonder Pore. Produk ini sungguh unik kerana pencuci mukanya berbentuk mousse. Sangat lembut dan menyegarkan.

Antara sampel produk jenama Etude House
Selain itu, saya pernah menggunakan rangkaian produk penjagaan kulit Pink Vital Water. Produknya sangat ringan dan tidak melekit. Sangat sesuai digunakan ketika musim sejuk menggantikan kelembapan kulit yang hilang. BB Cream Etude House juga habis sebotol saya gunakan.

Produk penjagaan kulit Pink Vital Water jenama Etude House

Manakala, bagi jenama It's Skin, saya pernah menggunakan rangkaian produk penjagaan kulit berasaskan mukus siput babi. Sepanjang berada di sana, produk ini sangat sesuai dengan kulit saya.

Sampel produk jenama It's Skin
It's Skin juga menghasilkan pelbagai jenis serum. Tapi bagi saya, serum jenama ini terasa 'berat' di kulit saya. Jadi, saya hanya sekadar mencuba sampelnya sahaja.

Antara serum keluaran It's Skin
BB Cream yang saya sangat setia suatu ketika dahulu adalah dari jenama Missha. Walau harganya agak mahal, namun sapuan BB Cream jenama ini sangat sekata dan tidak bercapuk. Ia membuat kulit nampak semulajadi tanpa mekap.

Sampel produk Missha. BB Cream kegemaran saya adalah yang pertama dan kedua dari kiri gambar

Jenama The Saem pula saya sukakan topeng muka atau 'mask' mereka. Harganya sangat berpatutan.

Sampel produk jenama The Saem

Apabila ke butik Nature Republic pula, saya pasti akan membeli gel Aloe Vera mereka yang sangat terkenal. Selalunya saya akan borong untuk dibawa pulang ke Malaysia sebagai hadiah buat saudara mara. Banyak kelebihan gel Aloe Vera ini termasuk melembapkan kulit, merawat kulit terbakar, boleh dijadikan penyegar mata dan pelbagai lagi. Krim pelembap yang mengandungi ginseng dari jenama ini juga pernah saya guna.

Satu lagi produk Nature Republic yang saya masih setia adalah Peeling Foot Mask. Saya akan ceritakan pengalaman menggunakan mask ini dalam entri yang lain.

Sampel produk Nature Republic

Rakan sekerja Korea saya pernah menghadiahkan saya produk spray muka yang diperbuat daripada air mata air di Kepulauan Jeju berjenama The Face Shop. Produk ini sangat bagus digunakan untuk melembapkan muka yang kering ketika musim sejuk.

Spray muka The Face Shop dari air Pulau Jeju

Kunjungan saya ke butik Tony Moly, Holika Holika dan Banila Co. selalunya hanya untuk membeli produk kosmetik mereka yang unik dan comel sebagai hadiah buat saudara-mara dan sahabat di Malaysia. Saya masih dalam proses mencari gambar-gambar produk tersebut di dalam hard disk. Insya Allah lain kali saya kepilkan di sini.

Sampel produk Tony Moly
Sampel produk Holika Holika dan Banila Co.

Saya belum pernah mencuba apa-apa produk dari Innisfree dan Face It. Innisfree katanya menjual produk berasaskan bahan organik dan semulajadi. Ada sebuah butiknya baru dibuka di Suria KLCC.

Sampel produk Innisfree

Sampel produk Face It

Anda pernah makan 'caviar' atau jeruk telur ikan? Di Korea ada produk penjagaan kulit yang berasaskan bahan ini. Dari mukus siput babi ke telur ikan, ada-ada sahaja kajian dan inovasi mereka.

Produk anti kedut daripada telur ikan atau caviar

Dengan ini, secara rasmi saya akan berpisah dengan koleksi sampel produk Korea simpanan saya.

Sekian.

Ayu