Tuesday 15 August 2017

Banjir dalam rumah

Facebook minta kongsikan bagaimana hari saya berlalu. Saya kongsikan juga di sini buat tatapan pembaca blog.

Pagi sebelum subuh pintu bilik diketuk bertalu-talu. Sayup bunyinya bagaikan dalam mimpi. 

Penat seharian belum hilang. Dimulai dengan membungkus barang-barang. Kemudian mengangkut naik ke rumah. Sambung pula mengemas mana yang terlarat. 

Fikiran cuba menangkap sama ada ketukan pintu itu mimpi atau realiti.

Sah itu suara abah di luar. Yang mengetuk pintu itu abah. Kedengaran juga bunyi air menderu bagaikan air terjun. 

Saya bingkas bangun daripada katil menerpa ke pintu. 

"Kenapa abah?"
"Banjir ni. Air melimpah dari tangki. Suis utama air di mana?"

Suami saya pun menyusul keluar dari bilik membantu abah mencari paip utama. 

Saya keluar rumah ingin mencari kotak kain buruk. Alhamdulillah betul-betul duduknya di tepi pintu. Tak perlu saya membongkar lautan kotak yang penuh berisi. 

Satu persatu kain buruk saya letak ke lantai, di luar pintu bilik air. Ada yang saya campak berhampiran dengan tempat emak berdiri. Emak membantu menyusun kain buruk untuk menghalang air sampai ke permaidani.

Penuh lantai di hadapan bilik air dilitupi kain buruk. 

Macam-macam perkara bermain dalam fikiran. Nasib baik perkara ini terjadi semasa suami, abah dan emak ada bersama di rumah. Tidaklah panik menghadapinya. 

Ini kali kedua pengalaman saya banjir di dalam bangunan. Kali pertama semasa di hotel Hilton London. Berseorangan. Lebih panik pastinya. Saya ceritakan di entri lepas.

Abah kata, "Tenanglah. Biasalah baru masuk rumah."

Sudahnya, hari ini kami terpaksa ambil cuti untuk pastikan kisah ini tidak berulang.

Yang tidak panik sangat,
Noorfiza Ayu
Bakal menulis kisah #SiPetiteNomad




No comments:

Post a Comment