Wednesday 27 September 2017

Akibat fire drill

Assalamualaikum.

Hari ini saya terpaksa ambil cuti. Betis sakit. Bagai diregang. Puncanya kerana turun tangga sebanyak sebelas (11) tingkat hari Isnin lepas. 

Jam 4.30 petang. Suasana di pejabat agak sibuk. Waktu pejabat akan tamat jam 6.00 petang. Masing-masing ingin menyiapkan tugasan harian.

Tiba-tiba, penggera kecemasan berbunyi. Pengumuman dibuat minta penghuni mengosongkan bangunan.

Rakan sekerja bertanya sesama sendiri. 

"Fire drill ke?" 
"Ini betul-betul atau cubaan?"
"Boleh terus balik ke?"

Pengurus Keselamatan Tingkat (Floor Safety Manager) sudah siap menyarung uniform mereka. Jaket berwarna kuning terang dan topi keselamatan. Mereka berdiri di pintu kecemasan, memastikan semua orang beratur untuk keluar.

Di tangga sudah penuh penghuni dari tingkat atas turun. Gilir-gilir kami menuruni tangga yang sesak.

Nasib baik saya pakai kasut bertapak rata. Kasihan pada mereka yang memakai "heel".

Sampai di tingkat lima (5), pengumuman dibuat mengatakan ia adalah "false alarm".

Perjalanan diteruskan hingga ke tingkat bawah. Kelihatan ramai berkumpul. Mungkin tertanya-tanya boleh pulang atau perlu kembali ke pejabat. Termasuklah saya. 

Memandangkan ada lebih kurang satu jam lagi untuk ke jam 6.00 petang, saya naik semula ke pejabat.

Esok hari, Selasa, betis mula terasa tegang. 
Tapi masih boleh berjalan seperti biasa.

Pagi Rabu. Jalan mula tidak sempurna. Tapi saya paksa untuk banyak berjalan. Temujanji makan tengahari di Restoran Lai Po Heen, Mandarin Oriental. Saya paksa diri memanjat tangga, tidak menaiki lif.

Pulang kerja saya naik LRT. Sekali lagi terpaksa berjalan jauh untuk ke stesen KLCC. Di stesen saya memilih untuk menggunakan tangga daripada lif. Kemudian menapak pula balik ke rumah.

Akibatnya, betis bertambah sakit.
Sahabat saya, seorang gym trainer nadihatkan untuk buat calf stretching. Berdiri di tempat rata, jingkitkan kaki, turunkan tumit perlahan-lahan.

Sakitnya Allah sahaja yang tahu. 
Pergerakan sangat terbatas.

Nak sujud ketika solat sangat menyakitkan. Nak membongkok mengambil pinggan dalam almari tingkat bawah sungguh menderita.
Berjalan kengkang. Sangat perlahan.

Barulah tahu bagaimana sukarnya orang tua yang sakit lutut. Itulah perasaan mak. Insaf sekejap. 

Allah tarik nikmat sekejap untuk kita mengambil pengajaran. Bukan menghina dan menyalahkan Dia. 

Cuti hanya untuk mengawal pergerakan kaki. Tangan dan otak masih berjalan. Tugasan pejabat perlu disiapkan.

Hidup biar berpenat, akhirat kita berehat.

Sekian,
Yang mengharap doa untuk cepat sembuh.

Noorfiza Ayu Azmi






Sunday 24 September 2017

Tips Cari Kerja

Assalamualaikum semua. Harap anda sihat belaka.

Hari ini 25 September 2017 bersamaan 5 Muharram 1439 Hijrah.
Mengikut kalendar Islam, kita sudah pun melangkah ke tahun baru.
Selamat tahun baru diucapkan.

Saya doakan hari-hari kita mendatang lebih baik daripada sebelumnya. Sama-sama kita berazam untuk berubah menjadi insan yang dapat memberi lebih manfaat kepada diri sendiri, keluarga, agama, bangsa dan negara.

Semalam saya baru selesai menghadam sebuah buku yang sangat menarik. Kenapa "hadam"? Sebab agak lama tempoh saya ambil untuk menghabiskan buku ini.

Kebiasaannya berapa lama anda ambil masa untuk habiskan buka 182 mukasurat? Sehari? Dua hari? Seminggu? Sebulan?

Tahu tak saya berkepit dengan buku ini 2 bulan! Ya, berkepit. Ke sana ke mari mengilik dia. Baca bila ada masa luang. Siap ulang tajuk tertentu. Adakala reflek kembali pengalaman sendiri dan kawan-kawan. Siap tanda dengan sticky notes warna-warni untuk point-point penting. Nasib baik tak lunyai.

Nak tahu buku apa yang best sangat ni? Jeng jeng jeng.


Career Crossroads: A Headhunters Guide to Career Strategy™


Gempak kan tajuk. Penulisnya Encik Adrian Choo dari Singapura. Seorang Headhunter dan Career Coach.

Saya kurang pasti kerjaya ini disebut sebagai apa dalam Bahasa Melayu. Kalau terjemahan secara terus macam tidak kena.

Headhunter = Pemburu kepala. Seram bunyinya.

Career Coach = Jurulatih Kerjaya. Macam pelik pula.

Jadi, dalam ulasan seterusnya, lebih baik profesion En Adrian kita guna Bahasa Inggeris ye.
Kita sambung nanti.

Sumber Teks dan Foto: Noorfiza Ayu

Saturday 23 September 2017

Sendu Malam



Sendu malam
Tangisan kedukaan
Dirobek kekasih hati
Mahupun merobek kasih Ilahi

Sendu malam
Tangisan kesyukuran
Atas nikmat yang tiada kesudahan

Sendu malam
Menyaksikan pengabdian
Antara dunia dan hari kebangkitan

Aku yang masih dalam sendu,
Noorfiza Ayu
#SiPetiteNomad 

Wednesday 16 August 2017

Kimbap dan Onigiri



Orang Korea panggil kimbap.


Orang Jepun panggil onigiri.


Konsepnya sama. Nasi kepal berinti lauk.


Kimbap antara makanan tengahari ruji saya semasa bekerja di Korea. 


Kadang-kadang tiada teman makan. Rakan sekerja mat saleh selalu bawa salad buatan sendiri. Atau pun mereka hanya makan donut dan kopi. 


Yang Korean pergi makan di kantin syarikat. Mereka ada kupon subsidi. Selalunya tiada pilihan yang boleh Muslim makan.


Yang Algerian selalunya balik ke apartmen. Masak sendiri. Ataupun mereka ke Itaewon membeli kebab. Hanya sekali sekala saya ikut. Perjalanannya jauh. Rasa banyak masa terbuang.


Jadi, kimbap menjadi alas perut jika tidak membawa bekal.


Yang ini saya beli di La Juiceria Avenue K. Sebelum masuk ke Stesen LRT KLCC, mesti nampak kedai ini yang terletak di bawah eskalator Avenue K. Satu kimbap harganya RM3.99. Ada pelbagai jenis inti lauk. 


Selamat menjamu selera!


Saya yang dah kenyang,

Noorfiza Ayu


#SiPetiteNomad 

#ACinPM 

Tuesday 15 August 2017

Hubungan Anak dan Ibubapa Tiada Putusnya

14 August 2017. Akhirnya setelah tujuh bulan berhempas pulas mengubahsuai rumah, tiba masanya kami berpindah.

Terima kasih abah dan emak sanggup tinggalkan urusan sendiri untuk teman kami walau sekejap. 

Hakikat hidup. Anak-anak tu, walaupun dah besar panjang, pandai berdikari, dah berumahtangga, ada suami isteri anak-anak sendiri, jauh di sudut hati masih ingin 'bermanja' dengan ibubapa mereka.

Tidak kira cara apa sekalipun. 

Nanti saya kongsikan beberapa pengalaman dan pengajaran yang kami suami isteri kutip sepanjang proses renovasi rumah kami. 

Semoga boleh menjadi iktibar dan manfaat buat pembaca.

Mohon undur diri dulu untuk sambung mengemas dan berehat.

Selamat malam.

Catatan oleh:
Noorfiza Ayu Azmi
Penulis #SiPetiteNomad

Banjir dalam rumah

Facebook minta kongsikan bagaimana hari saya berlalu. Saya kongsikan juga di sini buat tatapan pembaca blog.

Pagi sebelum subuh pintu bilik diketuk bertalu-talu. Sayup bunyinya bagaikan dalam mimpi. 

Penat seharian belum hilang. Dimulai dengan membungkus barang-barang. Kemudian mengangkut naik ke rumah. Sambung pula mengemas mana yang terlarat. 

Fikiran cuba menangkap sama ada ketukan pintu itu mimpi atau realiti.

Sah itu suara abah di luar. Yang mengetuk pintu itu abah. Kedengaran juga bunyi air menderu bagaikan air terjun. 

Saya bingkas bangun daripada katil menerpa ke pintu. 

"Kenapa abah?"
"Banjir ni. Air melimpah dari tangki. Suis utama air di mana?"

Suami saya pun menyusul keluar dari bilik membantu abah mencari paip utama. 

Saya keluar rumah ingin mencari kotak kain buruk. Alhamdulillah betul-betul duduknya di tepi pintu. Tak perlu saya membongkar lautan kotak yang penuh berisi. 

Satu persatu kain buruk saya letak ke lantai, di luar pintu bilik air. Ada yang saya campak berhampiran dengan tempat emak berdiri. Emak membantu menyusun kain buruk untuk menghalang air sampai ke permaidani.

Penuh lantai di hadapan bilik air dilitupi kain buruk. 

Macam-macam perkara bermain dalam fikiran. Nasib baik perkara ini terjadi semasa suami, abah dan emak ada bersama di rumah. Tidaklah panik menghadapinya. 

Ini kali kedua pengalaman saya banjir di dalam bangunan. Kali pertama semasa di hotel Hilton London. Berseorangan. Lebih panik pastinya. Saya ceritakan di entri lepas.

Abah kata, "Tenanglah. Biasalah baru masuk rumah."

Sudahnya, hari ini kami terpaksa ambil cuti untuk pastikan kisah ini tidak berulang.

Yang tidak panik sangat,
Noorfiza Ayu
Bakal menulis kisah #SiPetiteNomad




Tuesday 4 July 2017

Bila You Nak Ni Bos?

Siapa kerja makan gaji mesti pernah lalui situasi ini.

Selesai diberi tugasan, kita pun bertanya, "Bila you nak ni Bos?"

Dengan serius Bos pun jawab, "I nak semalam." Paling kita terkedu bila dapat jawapan, "I nak bulan lepas lagi."

Ha, apa nak jawab? Terkulat-kulat sengih. Respon dalam hati je lah sebab Rule No.1 Bos Always Right kan.

Respon A:
Nak semalam/sebulan lepas, tapi baru bagi hari ini. Apa punya planning daa.

Respon B:
Aku patut lebih proaktif, berfikir lebih ke hadapan daripada Bos, merangka apa yang perlu dilakukan dan syorkan kepada Bos.

Anda pilih.


Yang membuat anda berfikir,
Ayu #Si Petite Nomad
11 tahun pengalaman makan gaji

noorfizaayu.blogspot.com
noorfizaayu@gmail.com

Sunday 28 May 2017

Ramadhan 2017

27 May 2017 Masihi
Bersamaan
1 Ramadhan 1438 Hijrah

Alhamdulillah (segala puji bagi Allah).
Saya dapat bertemu Ramadhan buat kali ke-35 dan menjalankan ibadah puasa kali ke-29.

Ye, umur 6 tahun saya sudah diajar berpuasa. Walaupun tidak penuh, namun itulah permulaannya.

Budak tadika. Tengok kawan sedap makan aiskrim, kita pun nak juga. Belum pandai mendidik nafsu.

Antara kenangan Ramadhan semasa belum akil baligh yang tidak dapat saya lupakan adalah makan aiskrim potong dalam bas semasa perjalanan pulang ke rumah selepas sekolah agama. Haus.

Setelah separuh hari di Sekolah Kebangsaan Clifford Kuala Lipis, saya singgah di rumah makcik. Letaknya di belakang stor JKR. Berhampiran Balai Polis Kuala Lipis.

Rumah kami 10 batu jauhnya. Jadi rumah makcik yang kami adik beradik panggil ateh menjadi transit.

Makan tengahari dan tukar baju ke sekolah agama. Itulah rutinnya dari Darjah 1 sampai Darjah 4.

Penat. Selalu merungut dalam hati. Penat.

Tapi bila dah besar saya sedar pengorbanan abah dan mak menghantar ke sekolah bandar demi masa depan yang cerah.

Inilah rupanya 'sekolah kehidupan' yang mendidik sifat sabar, keluar dari zon selesa, kembara mencari ilmu dan pengalaman.

Selamat menyambut Ramadhan buat semua muslimin muslimat di seluruh dunia.

Semoga ibadah kita diredhai Allah.

Ayu,
Hamba Allah yang fakir.

noorfizaayu.blogspot.com
noorfizaayu@gmail.com

Tuesday 9 May 2017

Blog Bonda Rozita Ibrahim Jamu Ratu Malaya

Assalamualaikum sahabat maya semua.

Dah lama tak menulis. rindu untuk menulis. Sungguh banyak bahan tulisan yang bermain di fikiran untuk dikongsi. Itulah sebabnya sifu penulisan semuanya mengajak perkara yang sama - tulis hari-hari secara konsisten.

Tindakan saya masih belum konsisten. Masih perlu memaksa diri.

Hari minggu yang lepas, saya menghabiskan meluangkan masa untuk khatam kisah-kisah Bonda Rozita Ibrahim di blog peribadinya, rozitaibrahim.com. Terutamanya kisah beliau dalam Dugaan Noor Aini.

Ia berkisar tentang hidup beliau yang dipaksa kahwin dalam usia belasan tahun. Umur yang sangat muda. Di kala ramai remaja seusianya masih enjoy, beliau sudah memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu.

Perkahwinan yang dianggap dapat memperbaiki kehidupan seorang wanita daripada belengu kemiskinan, namun lain jadinya. Beliau terpaksa melalui kehidupan yang sukar.

Difitnah oleh keluarga mertua sebagai mengikis harta mendorong beliau untuk berpindah ke Felda Kechau di Pahang. Menjadi perintis peneroka.

Kalau anda pernah menonton filem Lurah Bilut, and mungkin dapat bayangkan bagaimana kehidupan peneroka Felda generasi pertama. Sedikit sebanyak anda dapat bayangkan apa yang Bonda tempuhi.

Saya sangat tahu di mana lokasi Felda Kechau itu. Saya dilahirkan di Kuala Lipis. Tinggal pula 10 batu jauhnya dari Bandar Kuala Lipis. Dikelilingi hutan kelapa sawit. Bermain di hutan mengikut abah menjerat ayam hutan, mengutip kelapa sawit sebagai makanan burungnya dan pernah bertemu anak harimau itu perkara biasa bagi saya.

Berulang alik setiap hari ke Sekolah Rendah Kebangsaan Clifford di bandar itu perkara biasa. Mak pula bekerja sebagai telefonis di Hospital Kuala Lipis. Ramai kawan di Padang Tengku. Membantu makcik meniaga di Bandar Lipis. Jadi setiap scene yang Bonda ceritakan saya boleh gambarkan dengan jelas.

Kehidupan di kampung atau bandar kecil tidak lari dengan fitnah. Tidak seperti di Bandar lebih-lebih lagi jika tinggal di kondo. Jiran tetangga pun tidak mengenali satu sama lain. Di kampung atau bandar kecil, setiap pergerakan jiran menjadi buah mulut. Hasad dengki, umpatan, menjaga tepi kain orang, meyindir itu seperti makanan harian.

Fitnah demi fitnah Bonda harungi. Ingatkan lari dari mertua boleh lari dari fitnah. Tapi di Felda lebih dasyhat. Menjadikan diri beliau sangat berhati-hati bergaul.

Namun, banyak perkara positif yang kita boleh belajar dari sifat-sifat bonda. Di sini saya senaraikan 10 sifat yang saya simpulkan setakat ini. Kisah Dugaan Noor Aini belum habis ditulis Bonda:

1. Self starter - walau tiada tempat atau rakan untuk berbincang, Bonda bertindak dulu dan mengutip pengajaran baik buruk daripada tindakan tersebut.

2. Berani membuat keputusan - bagi saya hidup ini adalah perjalanan membuat pilihan. Jadi kita kena selalu membuat keputusan. Kadang-kadang kita berada dalam dilema untuk membuat keputusan kerana kita tidak pasti samada pengakhirannya baik atau buruk. Tapi, apa yang saya dapat daripada Bonda adalah, kita mesti bertanggungjawab terhadap keputusan yang kita ambil. Benda akan datang adalah kuasa Allah, di luar kawalan kita. Oleh itu kita perlu yakin dan tawakal. Hanya kawal apa yang boleh kita kawal. Mohon panduan dari Allah.

Baca kisahnya berhijrah ke Kuala Lumpur untuk bekerja kilang. Masa depan yang belum pasti, tapi beliau teruskan kerana percaya ia mampu mengubah nasib keluarga.

3. Self motivated - Bonda dikurniakan suami yang tidak mempunyai wawasan dan kreatif idea seperti beliau. Hidup pula dikelilingi masyarakat yang sering mencari salah dan menabur fitnah. Namun, Bonda tidak patah semangat. Beliau sentiasa mencari jalan untuk menggembirakan hati sendiri. Sekecil-kecil perkara seperti melihat dirinya rapi di cermin dapat membangkitkan semangatnya.

4. Kreatif - Bonda tidak kering idea untuk memperbaiki ekonomi keluarganya. Bercucuk tanam pisang yang akhirnya menjadi jualan ke rumah kongsi indon.

5. Suka membuat research - Otak beliau juga aktif memikirkan apa lagi kepelbagaian bahan niaga untuk menambah pendapatan. Beliau meminta suaminya bertanya dengan indon apa bahan keperluan mereka (variasi produk mengikut keperluan pasaran). Beliau juga merisik bila mereka gaji (mengurangkan risiko kos dan waktu sesuai meningkatkan jualan). Mengkaji juga trend jualan bahan makanannya (analisa mood pelanggan).

6. Beringat dengan menyimpan - Walaupun teruja dengan hasil jualan, beliau beringat untuk menyimpan sebagai bekal di waktu kecemasan.

7. SUPER Rajin - Kehidupan beliau hari-hari sangat padat. Pagi-pagi bangun menyiapkan makanan untuk anak yang ditinggal di rumah ketika keluar menoreh. Juga bekal makanan ketika menoreh. Pulang menyiapkan jualan ke rumah kongsi dan makan malam. Berkemas. Pernah menoreh seharian. Bercucuk tanam. Ke pasar membeli bahan mentah dan bahan runcit. Seperti tiada rehat. Membuatkan saya malu dengan diri sendiri yang sentiasa mencari alasan untuk berehat.

8. Pandai memenangi hati pelanggan dan supplier - Beliau berbahasa indon untuk mendekati pelanggan yang akhirnya bertukar menjadi pelanggan setia. Juga belajar dengan supplier bagaimana bersaing secara sihat.

9. Berani mencuba - Beliau memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dahulu. Orang kata test market. Selepas melihat potensi pasaran, baru beliau mengembangkan perniagaan. Baca kisah Bonda cuba menjual bedak muka mutiara.

10. Berhati-hati dalam pergaulan - Bonda dibesarkan dalam keluarga yang sangat tegas dalam mendidik anak perempuan. Pergaulan dikawal rapi. Apabila beliau berumahtangga, suami pertama beliau bukanlah hero di matanya yang dapat protect beliau. Dikelilingi pula orang-orang negatif. Pernah disihir suami sendiri. Ini membuatkan beliau berhati-hati memilih orang yang beliau percaya. Termasuk anak-anak beliau dalam perturunkan perniagaannya.

Saya sangat mengagumi beliau sejak dari zaman sekolah lagi. Pernah mengamalkan produk Sendayu Tinggi, namun berhenti kerana tidak mampu. Saya yakin kerana pada zaman itu, tak banyak kilang bertaraf GMP. Saya pula sukakan produk herba berbanding ubatan berasaskan dadah.

Kini Bonda lebih dikenali ramai kerana beliau aktif berkongsi pelbagai tips dalam memperjuangkan industri perubatan herba alternatif di media sosial. Terlalu banyak testimoni positif daripada pengguna produk ciptaan beliau dari jenama Jamu Ratu Malay. Saya juga antara pengamalnya yang berpuas hati.

Dulu Bonda berniaga untuk memajukan ekonomi keluarga. Namun sekarang beliau berjuang untuk membangunkan ekonomi wanita khusunya dan ummah umumnya melalui program Jutawan Bonda. Beliau juga bercita-cita untuk membina Madrasah.

Seorang yang berwawasan dan memnadang jauh ke depan.

Sekarang saya juga follow anaknya, Puan Yati yang menguruskan Sendayu Tinggi.

Semoga bisnes mereka maju jaya.

Sekian.

Pengguna yang menumpang manfaat,
Noorfiza Ayu Azmi

Email: noorfizaayu@gmail.com
Blog: www.noorfizaayu.blogspot.com

Monday 17 April 2017

EziBox Perkhidmatan Baru Pos Laju - bahagian 1

Pernah tak korang beli barang online. Hantar ke rumah. Tapi tiada sesiapa di rumah.

Posmen pun tinggalkan surat cinta yang lebih kurang berbunyi begini,

"Kami datang tetapi anda tiada di rumah. Sila pungut bungkusan anda di Pejabat Pos Laju cawangan berikut sebelum tarikh sekian sekian. Kika tidak, bungkusan anda akan dipulangkan kepada pengirim."

Tapi kan, ada berita baik buat shopaholic online tegar. Eh, saya ke tu?

Harini saya baru dapat tahu yang Pos Laju ada perkhidmatan baru - EziBox.

Baru ke? Atau saya yang ketinggalan?

Message EziBox baru je masuk. Mata dan kepala dah berat sebab makan ubat batuk dan selsema.

Esok je lah kita tengok apa EziBox ni. Validity 48jam.

Sambil tu, korang boleh baca artikel ni.

http://www.thestar.com.my/metro/community/2016/05/30/new-locker-facility-to-pick-and-post-parcels-pos-malaysia-introduces-roundtheclock-service-for-custo/

Selamat malam.

Sekian.
Shopaholic online tegar
Noorfiza Ayu Azmi

Saturday 15 April 2017

Sepi

Sepi
Sunyi
Sendiri
Di dalam hati

Ke mana hilangnya hilai tawa
Gurau senda
Si ayu jelita

Terlupa
Bagaimana rupanya bila dia ketawa
Pabila meliuk manja
Berkata manis menggoda

Yang dipanggil abang
Sedarkah ini semua menghilang
Leka dihanyut kerja yang tidak berkurang
Juga panggilan maya ke medan perang

Apalagi yang perlu
Untuk mengharap belai rindu
Tatapan mata syahdu
Sebelum selamanya beradu

Sekian,
Diri yang sepi

Saturday 8 April 2017

Cara Untuk Kekal Produktif Dalam Kerja

Semalam hari berlari-lari.

Pagi kursus di Intermark sampai pukul 1pm. Sempat makan 1/2 jam.

Bergegas ke KLCC. Sempat juga hadir ceramah tentang Harta & Pusaka, walau dah dekat nak habis. Tapi tak nak terlepas sambungan dari sesi minggu lepas.

Habis ceramah, pergi pula daftar sebagai Graduate Engineer dengan Board of Engineers Malaysia (BEM). HR buat Registration Drive Day untuk menggalakkan sekalian jurutera mendaftar. Jangan nak praktis secara haram ye.

Lepas tu masuk pejabat sekejap membalas email dan buat persiapan untuk program Sharing Session on Low Cost Platform minggu depan.

Pukul 6pm berjalan laju ke Restoran Du Viet bertemu rakan sekolah untuk bincang persiapan Reunion Batch. 3 jam mesyuarat baru habis.

Kesimpulannya, saya suka hari yang produktif. Jumaat baraqah.


Catatan oleh,
Noorfiza Ayu Azmi
Si Kaki Pendek Yang Berjalan Pantas

Email: noorfizaayu@gmail.com

Blog: www.noorfizaayu.blogspot.com

Situational Assessment or Project Health Check

Bayangkan sebuah situasi.
Ceritanya begini.
.
.
Pergi jenguk satu projek.
Pusing-pusing. Borak-borak. Tanya khabar.
Hasilnya, ada 3 orang dalam projek tu jawab 3 tarikh yang berbeza bila ditanya bila Mechanical Completion.

Adakah cukup 3 sampel ini untuk membuat satu konklusi?
Apakah konklusi tersebut?
.
.
Situasi di atas adalah berdasarkan pengalaman saya menjalankan Situational Assessment (SA) terhadap sebuah projek.

SA juga turut dipanggil Project Health Check kebiasaannya dilakukan apabila sesebuah projek itu melalui fasa kritikal yang berisiko tinggi untuk tidak mencapai objektif projek yang telah ditetapkan seperti kelewatan dan pertambahan kos.

Pasukan SA terdiri daripada pakar dalam perancangan projek, pengawalan kos, construction dan commissioning serta perolehan.

SA mengambil masa lebih kurang dua ke tiga minggu. Ia dimulakan dengan pembentangan oleh pasukan projek tentang status dan isu. Kemudian program diteruskan dengan melawat tapak projek dan menemuduga ahli pasukan projek serta kontraktor. Pasukan SA turut menganalisa dokumen-dokumen penting projek termasuk Planning Package, Cost Report, Material Delivery Report, Weekly and Monthly Report, Spare Part List, Vendor Mobilisation Schedule, Inspection Test Plan dan pelbagai lagi.

Kemudian, pasukan SA akan menganalisa semua data dan informasi yang telah dikumpul. Kuantitatif analisis yang dijalankan termasuk Project Risk, Schedule Risk and Cost Risk Assessment.

Keputusan analisa akan membantu pihak pengurusan dan pelabur dalam membincangkan dan menentu hala tuju projek tersebut.
.
.
Berbalik kepada situasi asal.
Saya telah kongsikan situasi tersebut di Facebook untuk bertukar pendapat.

Seorang sahabat memberi pendapat yang mungkin 3 tarikh Mechanical Completion yang berbeza adalah disebabkan oleh target yang berlainan antara Syarikat pemilik projek, Kontraktor dan Sub-kontraktor.

Ada logiknya persepsi ini kerana kadangkala Syarikat pemilik projek memberikan target yang lebih awal kepada Kontraktor dan Sub-kontraktor supaya mereka ada "sense of urgency" untuk menyiapkan projek.

Namun, benarkah persepsi atau hipotesis ini?

Kita bersambung ke post akan datang.

Sekian.


Catatan oleh,
Noorfiza Ayu Azmi
Jurutera Projek Yang Gigih

Email: noorfizaayu@gmail.com
Blog: www.noorfizaayu.blogspot.com

Project Management Essential Training

Minggu lepas pergi kursus. Macam biasalah tentang pengurusan projek.
Kursus "Project Management Essential" Level 1. Wajib pergi. Tak dapat pengecualian.

Tapi bagus juga sebab saya daif ilmu teori. Buat kerja dulu terus kena campak je. Pandai-pandai survive. Bila nak assessment je baru sibuk belajar teori.

Selalunya kalau kursus Level 1 ni, saya antara golongan senior. Tapi harini lain. Disebabkan sekarang ramai yang terpaksa tukar Skill Group, ramai juga yang senior.

Masa perkenalkan diri, saya skip bab pengalaman kerja. Segan. Tapi kantoi juga sebab salah seorang Trainer kenal saya. Dia pula yang bagitahu saya pernah ke Cameroon dan Algeria.

Masa tea break apa lagi banyak la soalan dari classmates. FAQ biasa adalah "orang sana hitam ke?"

Saya rasa dah boleh record jawapan sama yang saya ulang.

Agaknya ada tak sesiapa yang nak beli kalau saya bukukan cerita pengalaman saya.
Catatan oleh,
Noorfiza Ayu Azmi
Jurutera Projek yang comel


Teks: Noorfiza Ayu Azmi
Email: noorfizaayu@gmail.com
Blog: www.noorfizaayu.blogspot.com

Wednesday 29 March 2017

There is an L in a sawi

Ciptaan Allah pelbagai rupa dan bentuk.
Ada kejadian yang TIDAK sempurna namun tetap memberi MANFAAT kepada yang lain.


Teks: Noorfiza Ayu Azmi
Email: noorfizaayu@gmail.com
Blog: www.noorfizaayu.blogspot.com

Sunday 26 March 2017

Masa yang berkat

Hujung minggu kali ini terasa sungguh panjang.

Begitulah baraqahnya meluang masa bersama yang tersayang.

Suasana kampung yang abah cipta walau di bandar sungguh tenang.

Pokok merimbun, ayam berkokok, burung berkicau riang.

Buatkan hati gundah, fikiran runsing pun hilang.

Nukilan,
Ayu

Teks: Noorfiza Ayu Azmi
Email: noorfizaayu@gmail.com
Blog: www.noorfizaayu.blogspot.com

Friday 3 March 2017

Susu Rizqi Mamadil

Teks: Noorfiza Ayu Azmi; Foto: Google
Email: noorfizaayu@gmail.com
Blog: www.noorfizaayu.blogspot.com


Saya tidak berapa suka minum susu. Nak habiskan susu segelas rasa seperti kena seksa.
Tapi memandangkan minum susu adalah salah satu azam tahun baru, saya paksakan diri.

Saya pun mencari susu yang sesuai. Kalau boleh nak minum susu kambing. Katanya banyak khasiat.

Cari punya cari, terjumpa di Facebook Sifufbads video klip pengasas Mamadil, Puan Dila Mubarak. Beliau menceritakan perjalanan bisnes beliau bermula dari suri rumah biasa-biasa menjadi luarbiasa.

Kagum dengan kisah dan kejelitaan wanita hebat ini, saya pun mula la mencari lebih lanjut produk-produk jualannya. Eh, ada susu kambing yang diberi nama Susu Rizqi. Perisa vanila pula tu. Ada tambahan kismis, habbatussauda, kurma. Menarik. Menepati citarasa.

Banyak juga testimoni tentang sakit kulit yang beransur pulih selepas minum Susu Rizqi. Ekzema, kulit rapuh, parut yang pudar dan sebagainya. Lagi kuat rasa ingin mencuba.

Moga-moga saya sembuh dari gegata. Bonus kalau dapat kulit yang lebih lembab, glowing dan tiada parut. Idaman semua wanita kot.

Tetiba teringat yang kalau tidak silap, ibu biras saya ada menitip dua paket susu kambing ketika saya berkunjung ke rumahnya di Ipoh tahun lepas. Berkejarlah saya ke dapur. Sah Susu Rizqi lah rezeki yang dititipkan.

Sekali cuba memang nak lagi. Sedap. Rasa vanila. Tidak rasa bau hamis kambing. Terus saya order.

Tiap-tiap hari minum. Kalau lapar di pejabat, saya minum Susu Rizqi buat alas perut. Malam sebelum tidur minum lagi. Ni dah masuk kotak kedua. Siap belikan untuk anak saudara berumur 4 tahun yang juga mengalami masalah kulit.

Bagi masa 2-3 bulan lagi. Nanti saya kongsi apa kesan mengamalkan Susu Rizqi.

Sekian.

Ayu

Resolusi 2017 - Masih on track?

Teks: Noorfiza Ayu Azmi; Foto: Google
Email: noorfizaayu@gmail.com
Blog: www.noorfizaayu.blogspot.com



Semua orang pernah dengar pesanan ingat 5 perkara sebelum 5 perkara. Tema saya tahun ini adalah untuk lebih bersungguh-sungguh menghayati dan melaksanakan pesanan ini. Hisab diri sendiri sebelum dihisabkan.

Dah masuk bulan ketiga. Saya sedang dalam usaha mengekalkan momentum disiplin untuk menunaikan ibadah wajib dan sunat dengan lebih sempurna, bersenam, mengambil vitamin, minum susu, menjaga kesihatan kulit, belajar lebih mendalam tentang pengurusan projek dan menulis.

Yang terakhir tu masih semput-semput. Macam mana nak buat ni ye.

Sekian.

Ayu

Monday 13 February 2017

Cara Mendapatkan Kulit Kaki Yang Mulus

Teks dan Foto: Noorfiza Ayu Azmi
Email: noorfizaayu@gmail.com
Blog: www.noorfizaayu.blogspot.com

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat semua pengunjung blog ini.

Hari ini kita bercerita tentang kaki. Anggota badan yang selalunya paling kurang mendapat perhatian. Biarpun kakilah antara yang paling banyak berjasa.

Ada tumit yang dibiarkan merekah. Ada pula kuku menjadi cagu. Paling tidak sedap dipandang kuku dibiar panjang tidak dipotong. Tidak kurang yang kulitnya dibiar kering dan kasar. Malah ada yang berbau.

Kasihan kaki.

Apa kata kita tanam azam untuk berubah mulai hari ini. Ada cara untuk mendapatkan kulit kaki yang mulus. Tidak perlu berbelanja lebih untuk ke spa membuat rawatan pedicure. Buat sendiri sahaja.

Caranya dengan menggunakan mask untuk kaki.

Saya mula mengenali mask untuk kaki ketika bertugas di Korea. Orang Korea bukan hanya memakai mask di muka, malah tangan dan kaki juga turut diberi perhatian. Pendek kata penjagaan kulit badan secara menyeluruh.

Ini peeling foot mask yang saya sering gunakan. Jenama Nature republic.



Jenama lain yang saya pernah jumpa adalah dari The Face Shop. Kalau guna kaki anda akan menjadi selembut bayi.


Di Jepun juga terkenal dengan foot mask. Boleh cari jenama Baby Foot. Kulit kaki sahaja yang akan menjadi seperti bayi. Umur tidak ye.


Cara menggunakan peeling foot mask ini semua sama. Sarungkan mask yang berbentuk seperti sarung kaki ke kedua belah kaki anda.

Biar selama 20 ke 40 minit. Kebiasaannya saya biarkan semalaman kerana saya pakai sebelum tidur.

Buang mask.

Anda tidak akan melihat hasil serta merta.

Dalam tiga hari atau seminggu kemudian, anda akan dapati kulit anda akan beransur-ansur merekah seperti gambar di bawah.

Kaki anda melalui proses bersalin kulit. Sel kulit mati akan tertanggal dan hasilnya anda akan mendapat kulit yang mulus seperti bayi.






Cubalah.

Sekian.

Ayu.

Sunday 12 February 2017

Apabila Sudah Bermula, Wajib Diselesaikan

Teks: Noorfiza Ayu Azmi; Foto: Google
Email: noorfizaayu@gmail.com
Blog: www.noorfizaayu.blogspot.com

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat semua pengunjung blog ini.



Alhamdulillah. Tiba juga saya ke entri yang ke-44 walaupun lewat dua hari daripada tarikh akhir kelas.

Kelas Tutorial Asas Blog dan Penulisan kelolaan Puan Masayu Ahmad dari Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR) adalah kelas kedua yang saya sertai dalam misi memahirkan diri untuk menulis. Saya mula sertai kelas ini pada 10 Januari 2017 dan berakhir pada 10 Februari 2017. Dalam masa lebih kurang 30 hari ini, para peserta diwajibkan untuk menyiapkan 44 entri di blog baru masing-masing. 

Saya mengenali ABDR melalui kelas Tulis, Terbit dan Tuju yang saya hadiri pada 20 November 2016 kelolaan guru dan mentor penulisan terkenal, Tuan Zamri Mohamad. 

Sejak saya pulang dari bekerja di luar negara dan atas permintaan keluarga untuk tidak ke luar negara lagi, saya bercita-cita untuk berkongsi pengalaman saya. Pada mulanya saya mula berkisah dengan saudara-mara, rakan-rakan dan teman sekerja apabila mereka bertanya pengalaman saya. Ada yang mencadangkan agar saya abadikan cerita-cerita tersebut sebagai karya travelogue agar dapat memberi manfaat kepada khalayak yang lebih besar. Lebih-lebih lagi kepada adik-adik yang masih di sekolah dan universiti. Juga kepada mereka yang baru menjejakkan kaki ke alam pekerjaan. Mungkin juga boleh menjadi rujukan kepada mereka yang bakal ke negara-negarat tersebut atas sebab apa sekalipun.

Mungkin ada di antara adik-adik yang masih tertanya-tanya kenapa perlunya belajar itu dan ini? Adakah kesemua yang dibelajar akan digunakan nanti? Apakah relevannya sesetengah mata pelajaran itu dan adakah akan dipraktikkan dalam kerjaya kelak? Bidang apa yang perlu diceburi? Apa yang perlu dilakukan untuk mencapai kepuasan dalam kerjaya? Apa faktor 'X' yang dicari majikan dalam perkerjanya? Bagaimana untuk memenangi hati majikan? Bagaimana mengimbangi masa antara kerjaya dan keluarga tatkala berkerja di luar?


Ini semua adalah soalan-soalan yang pernah bermain di fikiran saya dahulu. Sedikit demi sedikit terjawab sepanjang perjalanan hidup saya setakat ini.

Namun untuk menulis buku adalah suatu yang sangat besar komitmennya. Saya masih daif kosa kata Bahasa Melayu. Tidak juga yakin dengan gaya penulisan sendiri.

Tuan Zamri mencadangkan agar mula berlatih menulis tanpa henti. Menulislah di mana sahaja. Di Facebook. Di blog. Mahupun catatan harian. Ia dapat mengasah kemahiran menulis dan membantu meperkaya kosa kata. 

Saya sudah mempunyai dua blog sebelum ini yang saya bina sendiri. Tetapi kerana tiada panduan dan motivasi, blog tersebut hanya mempunyai dua ke tiga entri. Lama tidak disentuh.

Oleh itu saya bertekad kali ini saya harus mulakan dengan betul. Saya perlu berguru. Melalui proses pembelajaran yang berstruktur, langkah demi langkah. Saya perlu berada dalam komuniti yang mempunyai matlamat yang sama untuk meminjam aura dan meraih inspirasi. 

Saya dah tidak punya banyak masa untuk bereksperimen dan bermain-main. Umur saya makin meningkat. Tidak ada ruginya saya melabur untuk ilmu. Sekurang-kurangnya jika saya gagal di tengah jalan, saya tidak terkilan tidak mencuba.

Inilah titik tolak bagaimana saya bermula dengan Kelas Tutorial Asas Blog dan Penulisan. 

Walaupun kelas dijalankan secara online, guru kami Puan Masayu Ahmad sentiasa memantau perkembangan setiap muridnya. Kami diingatkan hampir setiap hari untuk membuat catatan harian. Kami menerima tips untuk menulis dengan baik dan membina blog yang berpengaruh. Juga diberi tips untuk meletakkan tajuk yang sesuai pada setiap entri. 

Bonusnya, kami dapat menambah kenalan daripada pelbagai bidang. Ini sangat membantu untuk mengekalkan momentum dan memperoleh sokongan moral dalam mencapai impian masing-masing.

Berikut adalah tips dari Puan Masayu Ahmad yang sentiasa segar dalam ingatan saya:

"Miskin idea.
Fokus apa kekuatan penulisan.
Setiap orang sangat berbeza keupayaan kefahaman.
Dalam penulisan juga sama. Ada banyak gaya.
Jadi 8 soalan analisa adalah sangat penting untuk melihat halatuju penulisan.
8 soalan yang sama. Tetapi jawapan adalah berbeza.
Sudah tentu tidak boleh meniru rakan sebelah.
Kalau meniru itulah namanya plagiat.
Miskin idea, apabila copy paste bahan orang lain dan penuhi di ruang status di facebook dan juga blog.
Kita memang miskin kalau setiap hari kerjanya copy dan paste.
Terus tekan butang share.
Jika berkongsi letak siapa penulis sebenar, rujukan sebenar."


"Tidak tahu mahu tulis apa.
Sesat.
Tulis dan latih tubi catatan harian.
Tulis seperti diari.
Ejaan penuh.
Apa aktiviti sepanjang hari.
Ambil masa 10 minit setiap hari dari masa 24 jam.
Selepas solat subuh atau selepas baca quran.
Jadikan tabiat selama 40 hari.
Tulis mengikut format karangan SPM. Mahu tulis ikut format UPSR pun boleh.
Apa yang penting TULIS. Jangan tinggal atau PONTENG walau sehari.
Latih tubi di atas sangat penting bagi kalian yang baru mula semula menulis.
Latih tubi selama 44 nota pertama. 10 hari pertama adalah kejung, 10 hari berikutnya adalah kebiasaan baki seterusnya adalah waktu bertahan.
Apabila MULA, WAJIB sampai selesai. Wajib sampai garis penamat."
Doakan momentum saya kekal dan saya tidak kecundang dalam 'The Dip'. Moga-moga impian saya untuk mempunyai karya sendiri menjadi kenyataan.

Semoga guru saya menghalalkan ilmu yang dicurahkan kepada saya dan rakan-rakan yang lain.

Sekian.

Ayu

Apa itu PMI dan PMBOK dalam Pengurusan Projek

Teks: Noorfiza Ayu Azmi
Email: noorfizaayu@gmail.com
Blog: www.noorfizaayu.blogspot.com

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat semua pengunjung blog ini.

Sebagai seseorang yang berkecimpung dalam bidang pengurusan projek, anda perlu tahu apa itu PMI dan PMBOK.

PMI atau nama penuhnya Project Management Institute adalah sebuah badan yang ditubuhkan bukan untuk meraih keuntungan, tetapi menyelia piawaian pegurusan projek secara global. Ia adalah sebuah persatuan yang menyatukan mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam pengurusan projek dari seluruh dunia. Anda boleh menjadi ahli PMI untuk membina rangkaian dalam bidang ini, mengikuti perkembangan semasa dan memperoleh pensijilan profesional.

Anda boleh melayari https://www.pmi.org/ atau http://www.pmi.org.my/ untuk mengetahui lebih lanjut mengenai PMI dan PMI Malaysia Chapter.

Logo Project Management Institute Global

Logo Project Management Institute Malaysia Chapter


PMBOK atau nama penuhnya Project Management Body of Knowledge adalah koleksi proses, amalan pengurusan projek terbaik, istilah dan panduan yang diterima sebagai piawaian dalam industri pengurusan projek.

Berikutan ilmu pengetahuan dalam industri ini sentiasa berkembang berdasarkan penemuan-penemuan baru oleh para pengamal, PMI mengambil inisiatif mengemaskini PMBOK dan menyebarkan kepada khalayak global.

Edisi pertama PMBOK diterbitkan pada tahun 1996. Edisi terkini adalah yang kelima dan diterbitkan pada tahun 2013.



Sekian.

Ayu

Saturday 11 February 2017

Pengalaman Cemas di London

Teks: Noorfiza Ayu Azmi; Foto: Google
Email: noorfizaayu@gmail.com
Blog: www.noorfizaayu.blogspot.com

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat semua pengunjung blog ini.



Saya ingin membawa anda semua ke satu situasi.

Bayangkan anda sedang nyenyak tidur di atas sebuah katik empuk di sebuah hotel empat bintang. Jam menunjukkan pukul dua pagi. Cuaca di luar yang sejuk tidak terasa dek kerana gebunya selimut yang menyelimuti tubuh anda.

Tiba-tiba siren kecemasan berbunyi bertalu-talu. Kedengaran hiruk pikuk suara manusia berlari-lari di luar kamar. Tidur anda terganggu. Apakah yang anda akan lakukan? Terus tidur atau bangkit daripada katil yang empuk untuk mengambil tahu apa yang berlaku?

Inilah yang pernah terjadi dalam hidup saya.

Ketika itu saya berkelana seorang diri. Singgah satu malam di Kota London sebelum melanjutkan perjalanan ke destinasi seterusnya. Saya menginap di Hotel Hilton Paddington.

Apa yang telah terjadi?

Dalam mamai masih terbuai mimpi, saya turun dari katil, mencapai tudung dan melilit ringkas di kepala. Sebaik sahaja membuka pintu, terkejut saya melihat air bertakung di hadapan bilik selang dua pintu dari bilik saya. Seorang lelaki yang hanya berjubah mandi berdiri bercekak pinggang tidak jauh dari situ.

"Excuse me Sir. What has happened?"

"A pipe has broken while I was having shower. Now my room is flooded with water. You should evacuate the building now while they resolve the problem."

Rupa-rupanya paip di bilik mandi kamar tersebut telah pecah dan membuatkan separuh daripada tingkat yang kami duduki banjir. Ketika saya enak dibuai mimpi, air telah pun melimpah ke kamar saya. Separuh permaidani telah basah. Saya sungguh tidak sedar.

Bergegas saya ambil beg sandang yang mengandungi komputer riba syarikat dan beberapa dokumen penting termasuk passport dan dompet. Saya terpaksa mengharungi air separas buku lali menuju ke pintu kecemasan.

Di situ sudah ada petugas hotel yang menanti. Beliau membantu saya keluar daripada bangunan hotel. Agak mencabar kerana kebanyakan pintu sudah terkunci secara automatik. Mujur juga ada walkie talkie untuk beliau berhubung dengan petugas yang lain.

Setiba di luar bangunan, cuaca sejuk mencucuk hingga ke tulang. Saya pula dalam keadaan mamai terlupa untuk mengambil jaket. Saya berlari-lari setempat untuk menghilangkan kesejukan. Ramai juga yang senasib dengan saya pada malam itu.

Lebih kurang 30 minit kemudian, kami dibenarkan masuk ke dalam bangunan.

Saya tidak dibenarkan ke bilik saya. Mereka memberikan saya bilik Suite sebagai gantirugi. Barang-barang saya akan dikemaskan dan dihantar ke Suite tersebut. Mujur juga saya belum mengeluarkan barang-barang daripada bagasi. Sesampai di hotel tadi saya terus mencuci muka, solat dan menukar baju dengan pakaian yang hanya dari beg sandang.

Sepanjang menunggu di luar bangunan, saya terfikir jika apa-apa terjadi kepada saya, siapa di Kota London ini yang boleh saya hubungi? Betul saya ada beberapa orang kawan, namun saya tiada nombor telefon mereka di London.

Sungguh ia menjadi satu pengajaran kepada saya untuk lebih bersedia dalam keadaan seperti ini. Jangan tidak tahu saya juga sering tidur dengan tudung sebagai langkah berjaga-jaga.

Apapun yang penting, sentiasalah bertawakal kepada Allah. Hanya Dia tempat kita mengadu dan bergantung harap.

Sekian.

Ayu

Terung Masak Sambal ala Ayu

Teks dan Foto: Noorfiza Ayu Azmi
Email: noorfizaayu@gmail.com
Blog: www.noorfizaayu.blogspot.com

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat semua pengunjung blog ini.

Minggu lepas sempat saya terjun ke dapur menyelamatkan terung daripada terbuang kerana hampir rosak.

Terung yang sudah hampir kecut akhirnya berjaya diselamatkan

Terung tersebut telah selamat dimasak bersama sambal sebagai lauk makan malam. Oleh itu, ingin saya berkongsi langkah-langkah membuat terung sambal ala Ayu.

Bahan-bahan yang diperlukan adalah:

1 biji Terung
3 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
Cili kering yang telah dibuang cili, direbus dan dikisar
Sedikit ikan bilis
Sedikit udang kering
3 sudu besar air asam jawa
Sedikit belacan
Gula
Garam
Minyak masak

Langkah-langkahnya:

1. Buang pangkal terung. Belah terung menjadi empat bahagian. Rendam dalam air supaya ia tidak lebam.


2. Kupas bawang besar dan bawang putih. Kisar kasar.
Tips: Lebihkan bawang besar jika inginkan lebih banyak sambal dan rasa sambal yang manis bawang.




3. Panggang terung tanpa minyak. Balik-balikkan terung sehingga menjadi separa lembut.





4. Sementara terung dipanggang, basuh ikan bilis dan udang kering. Rendam dalam satu ke dua minit untuk melembutkannya.



5. Apabila terung sudah separa lembut, angkat dan ketepikan.

6. Sangai ikan bilis dan udang kering sehingga kering. Masukkan sedikit minyak dan goreng hingga garing.
Tips: Seeloknya gunakan ikan bilis mata biru yang halus. Rasa rangupnya membuatkan sambal lebih menyelerakan.




7. Angkat dan satukan ikan bilis dan udang kering goreng bersama terung panggang.



8. Tumis bawang kisar dengan sedikit minyak.



9. Apabila sudah naik bau, masukkan dua sudu besar cili kisar. Masak sehingga pecah minyak.
Tips: Sukatan cili ikut tahap kepedasan anda


Sambal sudah pecah minyak

10. Masukkan air asam jawa.

Air asam jawa



11. Masukkan belacan, garam dan gula secukupnya.

Belacan

Gula

Garam

12. Gaul sambal bagi sebati segala rasa. Perhatikan sambal akan bertukar warna menjadi sedikit gelap kerana gula telah caramelised. Jika perlu, rasa sambal anda untuk memastikan keseimbangan rasa masam, manis dan masin.



13. Setelah berpuas hati, masukkan terung panggang bersama ikan bilis dan udang kering goreng ke dalam sambal. Gaul sebati.



14. Hidangkan buat santapan tengah hari atau makan malam.

Gambar terlebih cahaya

Gambar terkurang cahaya

Selamat mencuba dan menjamu selera.

Sekian.

Ayu

Bengkel PDMS 3D Model

Teks: Noorfiza Ayu Azmi; Foto: Google
Email: noorfizaayu@gmail.com
Blog: www.noorfizaayu.blogspot.com

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat semua pengunjung blog ini.

Contoh gambaran 3D Model

Sesebuah projek pembinaan akan melalui fasa Front End Engineering Design (FEED) dan Detailed Enginnering.

Di fasa ini, apabila kerja-kerja rekabentuk paip siap pada peratusan yang telah dipersetujui, kebiasannya pada tahap 30%, 50% dan 90%, satu sesi atau bengkel Plant Design Management System (PDMS) 3D Model akan diadakan.

Bengkel ini dihadiri oleh ahli pasukan projek itu sendiri yang terdiri daripada jurutera pelbagai disiplin termasuk tim operasi.

Objektif bengkel ini adalah untuk mendapat maklum balas, komen dan menyemak kesesuaian rekabentuk paip serta susun atur mesin, jentera dan peralatan. Ini untuk memastikan ruang yang cukup untuk kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaran dari aspek keselamatan dan ergonomik. Model struktur pembinaan dalam bentuk 3D akan ditayangkan satu persatu bagi member gambaran kepada mereka yang hadir.

Contoh 3D Model boleh dilihat di dalam klip video dari You Tube ini: https://www.youtube.com/watch?v=jqIt4yulmCM&t=333s

Awal bulan Januari yang lepas, saya telah menghadiri bengkel 50% PDMS Review untuk salah sebuah projek yang saya sedang pantau.

Sekian.

Ayu