Wednesday 27 September 2017

Akibat fire drill

Assalamualaikum.

Hari ini saya terpaksa ambil cuti. Betis sakit. Bagai diregang. Puncanya kerana turun tangga sebanyak sebelas (11) tingkat hari Isnin lepas. 

Jam 4.30 petang. Suasana di pejabat agak sibuk. Waktu pejabat akan tamat jam 6.00 petang. Masing-masing ingin menyiapkan tugasan harian.

Tiba-tiba, penggera kecemasan berbunyi. Pengumuman dibuat minta penghuni mengosongkan bangunan.

Rakan sekerja bertanya sesama sendiri. 

"Fire drill ke?" 
"Ini betul-betul atau cubaan?"
"Boleh terus balik ke?"

Pengurus Keselamatan Tingkat (Floor Safety Manager) sudah siap menyarung uniform mereka. Jaket berwarna kuning terang dan topi keselamatan. Mereka berdiri di pintu kecemasan, memastikan semua orang beratur untuk keluar.

Di tangga sudah penuh penghuni dari tingkat atas turun. Gilir-gilir kami menuruni tangga yang sesak.

Nasib baik saya pakai kasut bertapak rata. Kasihan pada mereka yang memakai "heel".

Sampai di tingkat lima (5), pengumuman dibuat mengatakan ia adalah "false alarm".

Perjalanan diteruskan hingga ke tingkat bawah. Kelihatan ramai berkumpul. Mungkin tertanya-tanya boleh pulang atau perlu kembali ke pejabat. Termasuklah saya. 

Memandangkan ada lebih kurang satu jam lagi untuk ke jam 6.00 petang, saya naik semula ke pejabat.

Esok hari, Selasa, betis mula terasa tegang. 
Tapi masih boleh berjalan seperti biasa.

Pagi Rabu. Jalan mula tidak sempurna. Tapi saya paksa untuk banyak berjalan. Temujanji makan tengahari di Restoran Lai Po Heen, Mandarin Oriental. Saya paksa diri memanjat tangga, tidak menaiki lif.

Pulang kerja saya naik LRT. Sekali lagi terpaksa berjalan jauh untuk ke stesen KLCC. Di stesen saya memilih untuk menggunakan tangga daripada lif. Kemudian menapak pula balik ke rumah.

Akibatnya, betis bertambah sakit.
Sahabat saya, seorang gym trainer nadihatkan untuk buat calf stretching. Berdiri di tempat rata, jingkitkan kaki, turunkan tumit perlahan-lahan.

Sakitnya Allah sahaja yang tahu. 
Pergerakan sangat terbatas.

Nak sujud ketika solat sangat menyakitkan. Nak membongkok mengambil pinggan dalam almari tingkat bawah sungguh menderita.
Berjalan kengkang. Sangat perlahan.

Barulah tahu bagaimana sukarnya orang tua yang sakit lutut. Itulah perasaan mak. Insaf sekejap. 

Allah tarik nikmat sekejap untuk kita mengambil pengajaran. Bukan menghina dan menyalahkan Dia. 

Cuti hanya untuk mengawal pergerakan kaki. Tangan dan otak masih berjalan. Tugasan pejabat perlu disiapkan.

Hidup biar berpenat, akhirat kita berehat.

Sekian,
Yang mengharap doa untuk cepat sembuh.

Noorfiza Ayu Azmi






Sunday 24 September 2017

Tips Cari Kerja

Assalamualaikum semua. Harap anda sihat belaka.

Hari ini 25 September 2017 bersamaan 5 Muharram 1439 Hijrah.
Mengikut kalendar Islam, kita sudah pun melangkah ke tahun baru.
Selamat tahun baru diucapkan.

Saya doakan hari-hari kita mendatang lebih baik daripada sebelumnya. Sama-sama kita berazam untuk berubah menjadi insan yang dapat memberi lebih manfaat kepada diri sendiri, keluarga, agama, bangsa dan negara.

Semalam saya baru selesai menghadam sebuah buku yang sangat menarik. Kenapa "hadam"? Sebab agak lama tempoh saya ambil untuk menghabiskan buku ini.

Kebiasaannya berapa lama anda ambil masa untuk habiskan buka 182 mukasurat? Sehari? Dua hari? Seminggu? Sebulan?

Tahu tak saya berkepit dengan buku ini 2 bulan! Ya, berkepit. Ke sana ke mari mengilik dia. Baca bila ada masa luang. Siap ulang tajuk tertentu. Adakala reflek kembali pengalaman sendiri dan kawan-kawan. Siap tanda dengan sticky notes warna-warni untuk point-point penting. Nasib baik tak lunyai.

Nak tahu buku apa yang best sangat ni? Jeng jeng jeng.


Career Crossroads: A Headhunters Guide to Career Strategy™


Gempak kan tajuk. Penulisnya Encik Adrian Choo dari Singapura. Seorang Headhunter dan Career Coach.

Saya kurang pasti kerjaya ini disebut sebagai apa dalam Bahasa Melayu. Kalau terjemahan secara terus macam tidak kena.

Headhunter = Pemburu kepala. Seram bunyinya.

Career Coach = Jurulatih Kerjaya. Macam pelik pula.

Jadi, dalam ulasan seterusnya, lebih baik profesion En Adrian kita guna Bahasa Inggeris ye.
Kita sambung nanti.

Sumber Teks dan Foto: Noorfiza Ayu

Saturday 23 September 2017

Sendu Malam



Sendu malam
Tangisan kedukaan
Dirobek kekasih hati
Mahupun merobek kasih Ilahi

Sendu malam
Tangisan kesyukuran
Atas nikmat yang tiada kesudahan

Sendu malam
Menyaksikan pengabdian
Antara dunia dan hari kebangkitan

Aku yang masih dalam sendu,
Noorfiza Ayu
#SiPetiteNomad