Wednesday 27 September 2017

Akibat fire drill

Assalamualaikum.

Hari ini saya terpaksa ambil cuti. Betis sakit. Bagai diregang. Puncanya kerana turun tangga sebanyak sebelas (11) tingkat hari Isnin lepas. 

Jam 4.30 petang. Suasana di pejabat agak sibuk. Waktu pejabat akan tamat jam 6.00 petang. Masing-masing ingin menyiapkan tugasan harian.

Tiba-tiba, penggera kecemasan berbunyi. Pengumuman dibuat minta penghuni mengosongkan bangunan.

Rakan sekerja bertanya sesama sendiri. 

"Fire drill ke?" 
"Ini betul-betul atau cubaan?"
"Boleh terus balik ke?"

Pengurus Keselamatan Tingkat (Floor Safety Manager) sudah siap menyarung uniform mereka. Jaket berwarna kuning terang dan topi keselamatan. Mereka berdiri di pintu kecemasan, memastikan semua orang beratur untuk keluar.

Di tangga sudah penuh penghuni dari tingkat atas turun. Gilir-gilir kami menuruni tangga yang sesak.

Nasib baik saya pakai kasut bertapak rata. Kasihan pada mereka yang memakai "heel".

Sampai di tingkat lima (5), pengumuman dibuat mengatakan ia adalah "false alarm".

Perjalanan diteruskan hingga ke tingkat bawah. Kelihatan ramai berkumpul. Mungkin tertanya-tanya boleh pulang atau perlu kembali ke pejabat. Termasuklah saya. 

Memandangkan ada lebih kurang satu jam lagi untuk ke jam 6.00 petang, saya naik semula ke pejabat.

Esok hari, Selasa, betis mula terasa tegang. 
Tapi masih boleh berjalan seperti biasa.

Pagi Rabu. Jalan mula tidak sempurna. Tapi saya paksa untuk banyak berjalan. Temujanji makan tengahari di Restoran Lai Po Heen, Mandarin Oriental. Saya paksa diri memanjat tangga, tidak menaiki lif.

Pulang kerja saya naik LRT. Sekali lagi terpaksa berjalan jauh untuk ke stesen KLCC. Di stesen saya memilih untuk menggunakan tangga daripada lif. Kemudian menapak pula balik ke rumah.

Akibatnya, betis bertambah sakit.
Sahabat saya, seorang gym trainer nadihatkan untuk buat calf stretching. Berdiri di tempat rata, jingkitkan kaki, turunkan tumit perlahan-lahan.

Sakitnya Allah sahaja yang tahu. 
Pergerakan sangat terbatas.

Nak sujud ketika solat sangat menyakitkan. Nak membongkok mengambil pinggan dalam almari tingkat bawah sungguh menderita.
Berjalan kengkang. Sangat perlahan.

Barulah tahu bagaimana sukarnya orang tua yang sakit lutut. Itulah perasaan mak. Insaf sekejap. 

Allah tarik nikmat sekejap untuk kita mengambil pengajaran. Bukan menghina dan menyalahkan Dia. 

Cuti hanya untuk mengawal pergerakan kaki. Tangan dan otak masih berjalan. Tugasan pejabat perlu disiapkan.

Hidup biar berpenat, akhirat kita berehat.

Sekian,
Yang mengharap doa untuk cepat sembuh.

Noorfiza Ayu Azmi






No comments:

Post a Comment