Saturday 11 February 2017

Pengalaman Cemas di London

Teks: Noorfiza Ayu Azmi; Foto: Google
Email: noorfizaayu@gmail.com
Blog: www.noorfizaayu.blogspot.com

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat semua pengunjung blog ini.



Saya ingin membawa anda semua ke satu situasi.

Bayangkan anda sedang nyenyak tidur di atas sebuah katik empuk di sebuah hotel empat bintang. Jam menunjukkan pukul dua pagi. Cuaca di luar yang sejuk tidak terasa dek kerana gebunya selimut yang menyelimuti tubuh anda.

Tiba-tiba siren kecemasan berbunyi bertalu-talu. Kedengaran hiruk pikuk suara manusia berlari-lari di luar kamar. Tidur anda terganggu. Apakah yang anda akan lakukan? Terus tidur atau bangkit daripada katil yang empuk untuk mengambil tahu apa yang berlaku?

Inilah yang pernah terjadi dalam hidup saya.

Ketika itu saya berkelana seorang diri. Singgah satu malam di Kota London sebelum melanjutkan perjalanan ke destinasi seterusnya. Saya menginap di Hotel Hilton Paddington.

Apa yang telah terjadi?

Dalam mamai masih terbuai mimpi, saya turun dari katil, mencapai tudung dan melilit ringkas di kepala. Sebaik sahaja membuka pintu, terkejut saya melihat air bertakung di hadapan bilik selang dua pintu dari bilik saya. Seorang lelaki yang hanya berjubah mandi berdiri bercekak pinggang tidak jauh dari situ.

"Excuse me Sir. What has happened?"

"A pipe has broken while I was having shower. Now my room is flooded with water. You should evacuate the building now while they resolve the problem."

Rupa-rupanya paip di bilik mandi kamar tersebut telah pecah dan membuatkan separuh daripada tingkat yang kami duduki banjir. Ketika saya enak dibuai mimpi, air telah pun melimpah ke kamar saya. Separuh permaidani telah basah. Saya sungguh tidak sedar.

Bergegas saya ambil beg sandang yang mengandungi komputer riba syarikat dan beberapa dokumen penting termasuk passport dan dompet. Saya terpaksa mengharungi air separas buku lali menuju ke pintu kecemasan.

Di situ sudah ada petugas hotel yang menanti. Beliau membantu saya keluar daripada bangunan hotel. Agak mencabar kerana kebanyakan pintu sudah terkunci secara automatik. Mujur juga ada walkie talkie untuk beliau berhubung dengan petugas yang lain.

Setiba di luar bangunan, cuaca sejuk mencucuk hingga ke tulang. Saya pula dalam keadaan mamai terlupa untuk mengambil jaket. Saya berlari-lari setempat untuk menghilangkan kesejukan. Ramai juga yang senasib dengan saya pada malam itu.

Lebih kurang 30 minit kemudian, kami dibenarkan masuk ke dalam bangunan.

Saya tidak dibenarkan ke bilik saya. Mereka memberikan saya bilik Suite sebagai gantirugi. Barang-barang saya akan dikemaskan dan dihantar ke Suite tersebut. Mujur juga saya belum mengeluarkan barang-barang daripada bagasi. Sesampai di hotel tadi saya terus mencuci muka, solat dan menukar baju dengan pakaian yang hanya dari beg sandang.

Sepanjang menunggu di luar bangunan, saya terfikir jika apa-apa terjadi kepada saya, siapa di Kota London ini yang boleh saya hubungi? Betul saya ada beberapa orang kawan, namun saya tiada nombor telefon mereka di London.

Sungguh ia menjadi satu pengajaran kepada saya untuk lebih bersedia dalam keadaan seperti ini. Jangan tidak tahu saya juga sering tidur dengan tudung sebagai langkah berjaga-jaga.

Apapun yang penting, sentiasalah bertawakal kepada Allah. Hanya Dia tempat kita mengadu dan bergantung harap.

Sekian.

Ayu

No comments:

Post a Comment