Sunday 12 February 2017

Apabila Sudah Bermula, Wajib Diselesaikan

Teks: Noorfiza Ayu Azmi; Foto: Google
Email: noorfizaayu@gmail.com
Blog: www.noorfizaayu.blogspot.com

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat semua pengunjung blog ini.



Alhamdulillah. Tiba juga saya ke entri yang ke-44 walaupun lewat dua hari daripada tarikh akhir kelas.

Kelas Tutorial Asas Blog dan Penulisan kelolaan Puan Masayu Ahmad dari Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR) adalah kelas kedua yang saya sertai dalam misi memahirkan diri untuk menulis. Saya mula sertai kelas ini pada 10 Januari 2017 dan berakhir pada 10 Februari 2017. Dalam masa lebih kurang 30 hari ini, para peserta diwajibkan untuk menyiapkan 44 entri di blog baru masing-masing. 

Saya mengenali ABDR melalui kelas Tulis, Terbit dan Tuju yang saya hadiri pada 20 November 2016 kelolaan guru dan mentor penulisan terkenal, Tuan Zamri Mohamad. 

Sejak saya pulang dari bekerja di luar negara dan atas permintaan keluarga untuk tidak ke luar negara lagi, saya bercita-cita untuk berkongsi pengalaman saya. Pada mulanya saya mula berkisah dengan saudara-mara, rakan-rakan dan teman sekerja apabila mereka bertanya pengalaman saya. Ada yang mencadangkan agar saya abadikan cerita-cerita tersebut sebagai karya travelogue agar dapat memberi manfaat kepada khalayak yang lebih besar. Lebih-lebih lagi kepada adik-adik yang masih di sekolah dan universiti. Juga kepada mereka yang baru menjejakkan kaki ke alam pekerjaan. Mungkin juga boleh menjadi rujukan kepada mereka yang bakal ke negara-negarat tersebut atas sebab apa sekalipun.

Mungkin ada di antara adik-adik yang masih tertanya-tanya kenapa perlunya belajar itu dan ini? Adakah kesemua yang dibelajar akan digunakan nanti? Apakah relevannya sesetengah mata pelajaran itu dan adakah akan dipraktikkan dalam kerjaya kelak? Bidang apa yang perlu diceburi? Apa yang perlu dilakukan untuk mencapai kepuasan dalam kerjaya? Apa faktor 'X' yang dicari majikan dalam perkerjanya? Bagaimana untuk memenangi hati majikan? Bagaimana mengimbangi masa antara kerjaya dan keluarga tatkala berkerja di luar?


Ini semua adalah soalan-soalan yang pernah bermain di fikiran saya dahulu. Sedikit demi sedikit terjawab sepanjang perjalanan hidup saya setakat ini.

Namun untuk menulis buku adalah suatu yang sangat besar komitmennya. Saya masih daif kosa kata Bahasa Melayu. Tidak juga yakin dengan gaya penulisan sendiri.

Tuan Zamri mencadangkan agar mula berlatih menulis tanpa henti. Menulislah di mana sahaja. Di Facebook. Di blog. Mahupun catatan harian. Ia dapat mengasah kemahiran menulis dan membantu meperkaya kosa kata. 

Saya sudah mempunyai dua blog sebelum ini yang saya bina sendiri. Tetapi kerana tiada panduan dan motivasi, blog tersebut hanya mempunyai dua ke tiga entri. Lama tidak disentuh.

Oleh itu saya bertekad kali ini saya harus mulakan dengan betul. Saya perlu berguru. Melalui proses pembelajaran yang berstruktur, langkah demi langkah. Saya perlu berada dalam komuniti yang mempunyai matlamat yang sama untuk meminjam aura dan meraih inspirasi. 

Saya dah tidak punya banyak masa untuk bereksperimen dan bermain-main. Umur saya makin meningkat. Tidak ada ruginya saya melabur untuk ilmu. Sekurang-kurangnya jika saya gagal di tengah jalan, saya tidak terkilan tidak mencuba.

Inilah titik tolak bagaimana saya bermula dengan Kelas Tutorial Asas Blog dan Penulisan. 

Walaupun kelas dijalankan secara online, guru kami Puan Masayu Ahmad sentiasa memantau perkembangan setiap muridnya. Kami diingatkan hampir setiap hari untuk membuat catatan harian. Kami menerima tips untuk menulis dengan baik dan membina blog yang berpengaruh. Juga diberi tips untuk meletakkan tajuk yang sesuai pada setiap entri. 

Bonusnya, kami dapat menambah kenalan daripada pelbagai bidang. Ini sangat membantu untuk mengekalkan momentum dan memperoleh sokongan moral dalam mencapai impian masing-masing.

Berikut adalah tips dari Puan Masayu Ahmad yang sentiasa segar dalam ingatan saya:

"Miskin idea.
Fokus apa kekuatan penulisan.
Setiap orang sangat berbeza keupayaan kefahaman.
Dalam penulisan juga sama. Ada banyak gaya.
Jadi 8 soalan analisa adalah sangat penting untuk melihat halatuju penulisan.
8 soalan yang sama. Tetapi jawapan adalah berbeza.
Sudah tentu tidak boleh meniru rakan sebelah.
Kalau meniru itulah namanya plagiat.
Miskin idea, apabila copy paste bahan orang lain dan penuhi di ruang status di facebook dan juga blog.
Kita memang miskin kalau setiap hari kerjanya copy dan paste.
Terus tekan butang share.
Jika berkongsi letak siapa penulis sebenar, rujukan sebenar."


"Tidak tahu mahu tulis apa.
Sesat.
Tulis dan latih tubi catatan harian.
Tulis seperti diari.
Ejaan penuh.
Apa aktiviti sepanjang hari.
Ambil masa 10 minit setiap hari dari masa 24 jam.
Selepas solat subuh atau selepas baca quran.
Jadikan tabiat selama 40 hari.
Tulis mengikut format karangan SPM. Mahu tulis ikut format UPSR pun boleh.
Apa yang penting TULIS. Jangan tinggal atau PONTENG walau sehari.
Latih tubi di atas sangat penting bagi kalian yang baru mula semula menulis.
Latih tubi selama 44 nota pertama. 10 hari pertama adalah kejung, 10 hari berikutnya adalah kebiasaan baki seterusnya adalah waktu bertahan.
Apabila MULA, WAJIB sampai selesai. Wajib sampai garis penamat."
Doakan momentum saya kekal dan saya tidak kecundang dalam 'The Dip'. Moga-moga impian saya untuk mempunyai karya sendiri menjadi kenyataan.

Semoga guru saya menghalalkan ilmu yang dicurahkan kepada saya dan rakan-rakan yang lain.

Sekian.

Ayu

No comments:

Post a Comment