Tuesday 17 January 2017

Terserempak Alligator di Louisiana

Teks dan Foto: Noorfiza Ayu Azmi
Email: noorfizaayu@gmail.com
Blog: www.noorfizaayu.blogspot.com

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pengunjung blog ini.

Pengalaman saya melawat tapak projek adalah pada tahun 2007. Ketika itu, walaupun saya baru setahun berkerja dalam bidang Business Development, saya telah diberi peluang untuk menjadi salah seorang ahli pasukan special taskforce untuk menjalankan penilaian teknikal dan komersial.

Kebiasaannya penilaian sebegini dibuat sebelum syarikat membuat sesuatu pelaburan, lebih-lebih lagi yang melibatkan modal yang besar.

Tapak projek ini terletak di Calcasieu Channel, Hackberry, Louisiana. Di sini bakal dibina sebuah loji gas asli cecair atau Liquefied Natural Gas (LNG).

Jika tidak salah, perjalanan kami dari bandar Houston ke Louisiana mengambil masa lima jam. Kami singgah makan tengahari di sebuah restoran tempatan yang menghidangkan cajun food. Terperanjat saya melihat peha katak sebagai salah satu menu pilihan di restoran tersebut. Saya yang memang geli dengan katak tidak dapat membayangkan bagaimana rupa makanan itu.

Selesai makan, ada seorang wanita menyapa kumpulan kami dan memberi salam. Rupanya beliau seorang muslim dan terpanggil untuk menegur kami setelah melihat saya yang memakai tudung. Katanya teringin untuk memakai tudung, tapi takut tidak diterima oleh masyarakat sekeliling. Sempat kami bertukar-tukar pandangan tentang kehidupan muslim sebagai minoriti di situ.

Setibanya di tapak projek, kami disambut oleh Project Team. Kami di bawa melihat kerja-kerja pembinaan yang sedang berjalan.



Apa yang menarik perhatian saya ketika itu adalah loji ini terletak jauh ke dalam sebatang sungai. Oleh itu, sungai tersebut perlu dikorek supaya kedalamannya dapat membenarkan kapal seberat ~120,000 tan (anggaran kasar) keluar masuk. Saya dapat melihat kapal mengorek pasir yang sedang beroperasi.



Selain itu, di sini adalah habitat asal Alligator. Sebelum projek ini dijalankan, proses pemindahan Alligator ke habitat baru telah dilakukan. Ada beberapa keping gambar Project Team bersama Alligator terpamer di notice board. Kami terserempak juga dengan seekor anak Alligator semasa melawat kawasan projek.

Di sini juga saya melihat pembinaan floating roof tank buat pertama kali. Sungguh teruja masuk ke dalam sebuah tangki yang besar dan melihat bagaimana atapnya di bina dari dalam tangki itu sendiri. Setelah selesai pembinaanya nanti, atap ini akan dinaikkan ke atas tangki.

Dalam perjalanan pulang ke Houston, kami sempat meninjau kesan-kesan kemusnahan harta benda akibat daripada taufan Katrina pada tahun 2005. Sungguh menyayat hati.

Saya amat berterima kasih kepada Bos yang memberi saya peluang keemasan begini walau saya masih setahun jagung ketika itu. Tak sangka penglibatan saya dalam projek tidak berhenti setakat itu sahaja, malah membawa saya lebih jauh.

Nanti saya coretkan pengalaman lain pula.

Sekian.

Ayu

No comments:

Post a Comment