Saturday 14 January 2017

Langkah Pertama

Teks: Noorfiza Ayu Azmi
Email: noorfizaayu@gmail.com
Blog: www.noorfizaayu.blogspot.com

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pengunjung blog ini.

Saya, empunya blog ini, bernama Noorfiza Ayu binti Azmi. Senang dipanggil Ayu, Fiza atau Cipie. Sebagai pemula kata, ini dia serba sedikit tentang perjalanan hidup saya.

Pendidikan
Saya dilahirkan di Kuala Lipis, Pahang. Eh, macam pernah dengar la nama tempat ini? Ha, inilah tempat kelahiran penyanyi terkenal Malaysia, Siti Nurhaliza.

Di peringkat rendah, saya bersekolah dari Darjah Satu hingga Darjah Lima (1989-1993) di Sek. Ren. Keb. Clifford, Kuala Lipis, Pahang. Kemudian saya sambung pembelajaran ke Sek. Keb. Bangsar, Kuala Lumpur (1994) kerana mengikut abah dan emak berhijrah.

Ramai sahabat daripada kedua sekolah ini yang saya ingin berhubung semula. Moga-moga ada yang datang menjenguk blog ini.

Seterusnya, di peringkat menengah, saya belajar di Sek. Men. Agama Persekutuan, Labu, Seremban, Negeri Sembilan. Sekolah yang banyak mengajar saya erti persahabatan dan kekeluargaan dalam suasana penuh islamik (iklim dini). Kemudian, tamat SPM 1999, saya melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah di Universiti Teknologi PETRONAS selama lima tahun dalam bidang Kejuruteraan Kimia.

Pengalaman Kerja
Saya didedahkan dengan pengalaman bekerja sejak lepas SPM sebagai Promoter di booth peralatan sukan jenama New Balance di Jaya Jusco (kini AEON), Mid Valley.

Usai graduasi, saya bekerja di Maruwa Engineering Sdn. Bhd., sebuah kilang elektronik di Batu Berendam Melaka sebagai Business Planner di bawah program lepasan graduan mereka.

Selepas 6 bulan, saya berhenti kerana mendapat tawaran yang lebih baik daripada salah sebuah syarikat mutinasional dalam industri minyak dan gas. Tahun ini merupakan tahun ke sebelas saya bersama syarikat ini. Banyak suka duka yang telah saya lalui. Panjang umur, saya kongsikan dalam entri mendatang.

Pengalaman Bisnes
Sejak di bangku sekolah, saya sudah berjinak-jinak dengan perniagaan. Pernah mengambil tempahan membuat gelang tiub daripada rakan-rakan sekolah, menjual tanglung dan sagun (sejenis makanan) buatan makcik.

Kejayaan paling besar semasa berniaga di Sekolah Rendah adalah menjual nasi lemak air tangan makcik. Namun, ia tidak bertahan lama dek kerana aduan oleh pihak kantin.

Semasa di Sekolah Menengah, saya turut serta dalam Karnival Usahawan, menjual bunga ros dan lukisan jubin. Kami juga membuat servis penghantaran. Seterusnya, pernah bersama rakan-rakan secara usahama menjual tomyam, pizza maggi dan coconut shake semasa Majlis Sambutan Hari Guru (kalau tak silap).

Minat pada bunga, kraf dan masakan tidak berhenti di situ.

Saya sering membantu saudara menjual bunga di tapak konvo UPM dan UiTM. Selain itu, saya juga mengambil tempahan daripada kalangan saudara-mara dan rakan terdekat untuk membuat bunga telur dan gubahan hantaran.

Manakala, minat pada masakan disalurkan kepada penjualan nasi lemak dan hotdog (berserta servis penghantaran) semasa di Universiti yang diusahakan bersama sahabat baik.

Minat, Kemahiran dan Kepakaran
Minat kepada sesuatu perkara boleh membuatkan kita gembira melakukannya. Ia juga boleh menjadi terapi minda. Agaknya apa yang saya minat ye?

Sudah terang lagi bersuluh daripada cerita di atas yang saya minat pada kraftangan dan masakan. Untuk lebih spesifik, jenis kraftangan yang saya suka adalah berkaitan gubahan bunga telur, bunga tangan, hantaran, door gift, hiasan rumah, mini pelamin dan kraf berasaskan kain felt. Memasak pula khusus kepada lauk pauk dan sedikit kuih muih tradisional.

Selain itu, saya juga suka membaca novel, buku-buku motivasi dan inspirasi, sejarah peradaban melayu dan tamadun dunia, ensiklopedia bergambar tentang pelbagai topik serta bahan bacaan berkaitan kepimpianan dan pengurusan projek.

Jika mengembara atau melawat tempat baru, saya suka melihat budaya masyarakat setempat, merasa makanan tempatan, melihat barangan jualan di pasar dan melawat tinggalan sejarah.

Bunyi seperti keanak-anakan, tapi jangan tak percaya yang saya suka menonton kartun dan anime. Saya mengagumi pengkarya dalam bidang ini, lebih-lebih lagi anime dari Jepun. Banyak yang saya belajar daripada anime. Nanti saya ceritakan.

Satu perkara lagi yang menjadi terapi minda saya adalah menghafaz ayat-ayat Al-Quran beserta maknanya.

Ada ke antara semua yang saya minat ini sudah mencapai tahap kemahiran dan kepakaran? Wallahu'alam. Mungkin anda boleh menilainya nanti menerusi perkongsian saya di blog ini.

Matlamat blog ini
Saya suka bercerita. Terlalu banyak di dalam kepala saya yang ingin diluahkan. Pengalaman suka duka dalam karier dan hidup, pelbagai tips berkaitan urusan dalam kehidupan seharian, penagajaran melalui pemerhatian, apa yang saya minat dan sebagainya.

Nak bercerita kepada ahli keluarga dan rakan terdekat saja, takut mereka rasa bosan pula. Mungkin ada perkongsian yang dapat memberi manfaat kepada lebih ramai orang. Jadi, saya fikir, kenapa saya perlu hadkan potensi cerita saya?

Atas faktor ini, saya mengambil keputusan untuk serius berblog. Allah mempermudah jalan dengan menemukan saya dengan yang pakar, Puan Masayu Ahmad daripada Akademi Bekerja Dari Rumah.

Matlamat kelas blog
Walaupun saya sudah ada dua blog sebelum ini, kenapa Allah dorongkan hati saya untuk berguru? Kerana saya perlukan:

  • "Push factor" untuk berjaya melaksanakan sesuatu supaya tidak hangat-hangat tahi ayam
  • Belajar secara berstruktur/bermodul, bukan caca merba
  • Kenalpasti fokus blog 
  • Tips daripada guru/mentor dan rakan-rakan seangkatan untuk menulis dengan konsisten
  • Tunjuk ajar supaya perkongsian saya menarik untuk dibaca, seterusnya dimanfaatkan
  • "Networking" dengan rakan-rakan daripada pelbagai bidang tapi mempunyai matlamat yang sama
Ini juga adalah salah satu usaha saya untuk memanjangkan ilmu yang saya perolehi. Moga-moga dapat saya tuai di akhirat nanti.

Jutaan terima kasih kerana berkunjung ke sini. 
Sehingga bertemu lagi di entri akan datang.

Sekian,
Ayu

No comments:

Post a Comment