Wednesday 18 January 2017

San Diego Bandar Yang Tenang dan Aman

Teks dan Foto: Noorfiza Ayu Azmi
Email: noorfizaayu@gmail.com
Blog: www.noorfizaayu.blogspot.com

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pengunjung blog ini.

Sepuluh tahun lepas, saya pernah berada di San Diego selama dua minggu atas urusan kerja. Walaupun jadual kerja sangat padat, saya sempat meluangkan sedikit masa melawat beberapa tempat-tempat menarik di sana. Kebetulan masa siang lebih lama ketika itu (musim panas).

Di sini jugalah pertama kali saya memberanikan diri keluar bersiar-siar berseorangan kerana memikirkan peluang yang mungkin hanya datang sekali. Memikirkan keselamatan diri, tiada pengalaman, tidak biasa dengan tempat baru dan masa yang terhad, saya mengambil keputusan untuk menaiki tour bus - Old Town Trolley Tours of San Diego. Tiket boleh dibeli di dalam bas, namun saya membeli secara atas talian. Salah satu pit stop adalah di Horton Plaza, sebuah pusat beli belah yang terkenal di San Diego ketika itu yang juga berhampiran dengan hotel saya tinggal.

Ada juga sebahagian tempat yang saya lawati di bawa oleh rakan usahasama kami.

Alhamdulillah hard disk saya masih berfungsi dengan baik, dapatlah mengumpul gambar tempat-tempat yang saya lawati buat kenangan di blog ini.

San Diego Zoo
Binatang di zoo ini kebanyakannya dari Asia, jadi saya tidak terlalu teruja, melainkan panda, kura-kura gergasi, kambing gurun dan unta. Ketika itu, tidak pernah terfikir yang suatu hari saya akan berkerja di padang pasir, dikelilingi unta.

Kasihan unta ini. Ini bukan habitat sebenarnya. Apakan daya, dia juga makhluk yang memberi manfaat, sebagai bahan pembelajaran buat khalifah Allah yang berfikir.


Pada pandangan saya, apa yang menarik di Zoo ini adalah pelbagai persembahan dan program yang sangat interaktif dengan pengunjung. Begitu ramai kanak-kanak sekolah datang sementelah mereka sedang bercuti musim panas.

Old Town Historic State Park
Taman ini meghidupkan kembali kehidupan tradisi rakyat Mexico dan America pada 1821-1872. Ada pelbagai restoran yang menghidangkan makanan Mexico dan California (cajun food), kedai kraftangan dan muzium.

Maritime Museum & USS Midway Museum
Kerana kesuntukan masa, saya tidak masuk ke kedua-dua muzium ini. Saya hanya mengambil gambar di hadapan kapal besar bernama Star of India.

Coronado Island
Sebuah pulau persendirian di San Diego.

Pantai La Jolla
Sebuah pantai di mana terdapat kawasan perumahan elit di atas bukit. Di sini terdapat sebuah kolam di mana terdapat banyak seal dan sea lion bersantai hampir sepanjang tahun. Saya juga dapat menikmati pemandangan matahari terbenam di La Jolla Cove.



Makanan laut - The Fish Market
Memandangkan San Diego terletak di pinggir Pantai Pasifik, tentulah makanan laut yang segar menjadi salah satu tarikan utama. Saya berpeluang menikmati makan malam di The Fish Market, sebuah restoran makanan laut terkenal di San Diego.

Unconditional Surrender Statue
Sebuah patung gergasi setinggi 25 kaki yang menggambarkan seorang kelasi mencium kekasihnya, seorang jururawat, sebagai menyambut kejayaan di Perang Dunia Kedua pada tahun 1945. Patung ini berlatarbelakang USS Midway Museum.


Sekian.

Ayu

No comments:

Post a Comment