Sunday 15 January 2017

5 Sebab Kenapa Saya Suka Kartun Jepun "One Piece"

Teks: Noorfiza Ayu Azmi; Foto: Google
Email: noorfizaayu@gmail.com
Blog: www.noorfizaayu.blogspot.com




Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pengunjung blog ini.

Jangan ketawakan saya ye. Walaupun umur menjangkau 30-an, saya tetap suka menonton anime, iaitu kartun Jepun yang sesuai ditonton oleh orang dewasa mahupun kanak-kanak.

"One Piece" adalah salah satu anime yang saya gemari. Mengisahkan pengembaraan seorang ketua lanun bernama Monkey D. Luffy bersama nakamanya (rakan sepasukan) untuk menjadi Pirate King.

Ada lebih 800 episod dan pengembaraan Luffy masih belum sampai penghujungnya.

Saya baru sampai di episod 604. Sebab itulah hampir setiap malam saya dan suami menonton kartun ini sambil makan malam. Terapi minda setelah penat kerja seharian.

Apa yang "best" sangat tentang "One Piece"?

Sempena entri kelima, saya senaraikan 5 sebab kenapa saya suka "One Piece".

1. Lokasi pengembaraan dan sesetengah watak diinspirasikan daripada dunia sebenar. 
Contohnya Arabasta - padang pasir di negara Arab, Dress Rosa - Sepanyol, Blue Gilly - Bruce Lee, Donquixote Donflamingo - Spanish Knight, Violet - Flamenco Dancer.

Saya dan suami suka meneka lokasi dan watak sebenar tersebut.

Lokasi yang paling saya suka setakat ini adalah Sky Island dan Arabasta.
Setiap kali naik kapal terbang dan melihat kelompok awan yang seperti cotton candy, saya teringatkan Sky Island.
Begitu juga setiap kali sampai ke tapak projek di padang pasir Algeria dulu, saya teringatkan Arabasta.

2. Yakin dan hormat pada ketua

Walaupun Luffy wataknya "playful" namun ahli pasukannya sangat menghormati beliau sebagai seorang Kapten. Ada kisah di mana salah seorang ahli membantah keputusan Luffy untuk mencari kapal baru menggantikan kapal lama mereka, Going Merry yang sudah rosak teruk. Beliau dipulaukan. Namun, akhirnya diterima semula setelah meminta maaf.

3. Semangat berpasukan yang tinggi
Memahami kekuatan dan kekurangan rakan sepasukan. Sahabat rakan adalah sahabat mereka dan begiulah sebaliknya dengan musuh. Setiap ahli juga faham akan peranan masing-masing dan sentiasa menambahbaik kemahiran/kepakaran diri.

4. Belajar benda baru
Anime Jepun selalu menyelitkan perkara teknikal. Dalam "One Piece", kita boleh belajar teknologi kaji cuaca, keadaan laut, sejarah, struktur kapal dan teknologi masa depan.

5. Fokus dengan matlamat. "Harta" sebenar adalah ilmu dan pengalaman
Luffy sedar yang beliau ramai pesaing untuk merebut gelaran "Pirate King". Namun, beliau sangat fokus dengan matlamat dan selalu mengungkapkannya tidak kira di mana dan dengan siapa. Baginya, "harta" Pirate King yang menjadi buruan adalah ilmu dan pengalaman sepanjang pengembaraan menakluki lautan yang luas. Beliau berbuat baik dan sentiasa membantu ramai orang.

Serius sungguh entri ini walaupun cerita tentang kartun.

Anda pula suka kartun apa? Kongsilah dengan saya.

Sekian. Selamat malam.

Ayu

No comments:

Post a Comment