Sunday 5 February 2017

Idea Untuk Cenderahati Kanak-Kanak Semasa Majlis Sambutan Harijadi

Teks dan Foto: Noorfiza Ayu Azmi
Email: noorfizaayu@gmail.com
Blog: www.noorfizaayu.blogspot.com

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pengunjung blog ini.

Baru-baru ini abang dan kakak ipar saya mengadakan majlis sambutan harijadi buat anak tunggal perempuan mereka di Taska. Umurnya menginjak ke empat tahun pada 4 Februari 2017.

Seperti menjadi satu fenomena, kartun Frozen menjadi kegilaan kanak-kanak sekarang. Anak saudara saya, Cahaya Edora Aisyah juga tidak ketinggalan. Jadi, tema majlis tentulah Frozen. Aisyah sendiri merayu kepada ibunya untuk menyediakan kek Frozen.


Saya pula menyiapkan 43 unit cenderahati untuk anak-anak berumur lingkungan dua ke empat tahun. Disebabkan saya terlupa majlis akan berlangsung di musim Tahun Baru Cina, saya menghadapi sedikit cabaran mencari barang-barang cenderahati. Kedai banyak tutup.

Apa yang saya mampu sediakan adalah seperti berikut:

  1. Buku mewarna beserta pelekat pelbagai tema kartun
  2. Pen warna
  3. Pemadam
  4. Pelbagai karakter mainan yang di dalamnya ada gula-gula
  5. Air kotak coklat bertema Frozen
  6. Beg kecil berwarna pink 


Kos keseluruhan satu beg adalah RM 4.36. Berikut adalah kos setiap barang:
  1. Buku mewarna: RM 2.00
  2. Pen warna (jenama Faber Castell): RM7.60 untuk 20 batang, jadi RM 0.38 sebatang
  3. Pemadam: RM 0.25
  4. Pelbagai karakter mainan yang di dalamnya ada gula-gula: Beli di kedai borong dengan harga RM6.50 untuk 20 unit, jadi RM 0.33 seunit
  5. Air kotak coklat bertema Frozen: RM 1.10
  6. Beg kecil berwarna pink: RM 0.30
Majlis telah berlangsung dengan jayanya. Aisyah mengenakan gaun Frozen pada hari itu. Kanak-kanak sungguh gembira menyanyikan lagu Happy Birthday To You dan Allah Selamatkan Kamu buat sahabat mereka. Tidak sabar-sabar mereka menanti kek dipotong dan kemudian bermain dengan mainan yang mereka terima.


Kanak-kanak begitulah. Sekecil-kecil perkara pun boleh membuatkan mereka gembira. Kami semua terhibur melihat mereka.

Pulang dari Taska, Aisyah dikejutkan oleh Daddanya apabila dihadiahkan gaun Frozen idamannya. Sepanjang malam menari lagu Let It Go sehingga tidur pun memeluk gaun tersebut. Bagaiman tidak, selama ini tuala Tok Ma menjadi mangsa. Diikatnya di leher untuk menjadikan mantel seperti Puteri Elsa. Macam-macam.



Semoga perkongsian ini dapat memberi idea kepada sesiapa yang akan membuat majlis untuk si comel tersayang.

Doakan semoga suatu hari Allah kurniakan zuriat buat saya dan suami. Sudah lapan tahun menanti.

Sekian.

Ayu

No comments:

Post a Comment