Monday 6 February 2017

Kertas Cadangan Pelaburan

Teks: Noorfiza Ayu Azmi
Email: noorfizaayu@gmail.com
Blog: www.noorfizaayu.blogspot.com

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat semua pengunjung blog ini.

Saya ada satu tugasan penting untuk disiapkan dalam masa terdekat ini. Saya perlu menyiapkan pembentangan cadangan pelaburan untuk mendapat kelulusan sebuah projek daripada pihak atasan.

Di sesetengah syarikat, tugasan ini dipanggil Final Investment Decision (FID).

Ini adalah satu proses penting untuk mendapatkan dana bagi menjalankan sesebuah projek. Kertas cadangan adalah bukti menunjukkan bagaimana sesebuah projek itu boleh memberi nilai berganda kepada pelaburan yang dikeluarkan oleh setiap pelabur.

Kertas cadangan akan menjadi lebih penting jika projek yang bakal dijalankan melibatkan kos dan risiko yang tinggi serta rumit.

Kebiasaannya, setiap syarikat ada template tersendiri. Namun, tidak ada satu template yang seragam di dunia ini kerana ia boleh disediakan dalam bentuk pembentangan visual atau dokumen memo. Objektifnya sama iaitu untuk mendapat perhatian pihak tertentu sebelum suatu keputusan dibuat.

Walau bagaimanapun, ada persamaan dalam setiap struktur pembentangan kertas cadangan seperti berikut:
  1. Tajuk Cadangan Bisnes
  2. Kandungan 
  3. Ringkasan Eksekutif atau Ringkasan Projek
    • Elemen ini sangat penting kerana kebiasaannya, pihak pengurusan tidak mempunyai banyak masa. Jadi dengan membaca ringkasan sudah mampu menarik perhatian mereka dengan isu berbangkit dan cadangan berkaitan projek
    • Elemen ini harus merangkumi ringkasan projek, objektif projek, faktor penting projek perlu dilaksanakan, isu berbangkit dan langkah mengatasi serta nilai masa depan projek tersebut
  4. Perincian Projek 
    • Merangkumi teknikal, kos dan jadual projek
  5. Analisa kos dan jadual
    • Analisa ini kebiasaanya dijalankan secara kuantitatif menggunakan perisian seperti Primavera P6 Pertmaster dan Crystal Ball
  6. Risiko dan langkah mengatasinya secara terperinci
  7. Analisa nilai projek termasuk ekonomi dan komersial
  8. Konklusi dan Cadangan

Proses menyiapkannya mengambil masa. Ia memerlukan kemahiran analisis yang tinggi, komitmen daripada pelbagai unit, kolaborasi dan sense of urgency. Pendek kata kemahiran kerja berpasukan yang efektif.

Saya telah diberi peluang beberapa kali menyiapkan tugasan sebegini termasuk membentangkannya pada pihak atasan dan rakan usahasama untuk beberapa buah projek.

Sebelum bermula, saya akan menyediakan pelan perancangan kerja termasuk pembahagian tugas dan tarikh akhir. Sebarkan kepada semua ahli pasukan. Membuat meeting pertama supaya setiap ahli kenal sesama sendiri dan tahu peranan masing-masing.

Apabila kertas cadangan siap, proses semakan bermula daripada bos kecil ke bos besar. Saya akan mengumpul soalan-soalan yang sering diajukan dan akan mencari jawapan sebagai persediaan menghadapi hari pembentangan.

Proses ini bagi saya sangat mengujakan kerana ketika inilah otak dipaksa berfikir secara kritis dan melihat sesuatu masalah itu daripada pelbagai sudut dan perspektif berbeza.

Sekian dulu perkongsian saya.

Semoha bermanfaat.

Ayu.


No comments:

Post a Comment