Monday 6 February 2017

Pengalaman Cemas di Lapangan Terbang Zurich dan Cameroon

Teks dan Foto: Noorfiza Ayu Azmi
Email: noorfizaayu@gmail.com
Blog: www.noorfizaayu.blogspot.com

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat semua pengunjung blog ini. Diharap semua dalam keadaan baik-baik belaka.

Kali ini saya ingin berkisah tentang pengalaman saya semasa terkandas di Cameroon. Cameroon adalah salah sebuah negara di benua Afrika. Bersempadan dengan negara Nigeria, Chad, Republik Afrika Tengah, Republik Congo, Gabon dan Equatorial Guinea. Ia juga mempunyai pesisir pantai mengadap lautan Atlantik.

Ibu negara Cameroon adalah Yaounde. Namun ada sebuah bandar terbesar bernama Douala. Dua lokasi ini padat penduduk.

Bahasa Perancis adalah bahasa utama di Cameroon disamping English. 70% rakyatnya menganut agama Kristian. Hanya 18% Muslim.

Destinasi kami ke Yaounde. Pernacangannya, kami menaiki penerbangan Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke Paris. Kemudian dari Paris ke Zurich. Zurich ke Younde.

Perjalanan kami lancar sehinggalah tiba di Zurich. Ketika itu bulan Februari. Zurich dilitupi salji. Landasan kapal terbang kelihatan licin dengan black ice. Kabus tebal menghadkan pandangan.

Penerbangan dari Zurich ditunda. Katanya tangki minyak beku dilitupi salji. Kami menunggu.

Masuk satu jam menunggu, penumpang mula naik angin. Ada yang takut terlepas connecting flight mereka. Ada yang sudah terlepas temujanji. Mereka mengamuk di kaunter dalam bahasa Perancis. Mujur salah seorang rakan sekerja kami boleh berbahasa Perancis. Beliaulah penterjemah kami.

Bayangkan orang Cameroon yang berbadan tegap dan besar meninggikan suara dengan mengepangkan tangan. Polis terpaksa masuk campur.

Ramai penumpang berkerumun di Kaunter
Polis member bantuan selepas keadaan tidak dapat dikawal oleh krew penerbangan
Barisan Polis
Hampir lima jam menunggu, akhirnya kami dapat menaiki pesawat. Kami berasa lega. Tanpa menduga rupanya ada cabaran yag lebih hebat dari situasi tadi.

Perjalanan kami sangat lancar. Salah seorang pramugari di dalam pesawat Swiss Air ini rakyat Malaysia berbangsa India. Beliau melayan kami dengan baik sekali. Jarang katanya melihat orang Malaysia ke Cameroon.

Pesawat ini rupanya dijadualkan untuk berhenti sebentar di Douala untuk menurunkan penumpang sebelum melanjutkan perjalanan ke destinasi akhir, Yaounde.

Setiba di Douala, beberapa penumpang pun turun. Penumpang yang ingin ke Yaounde diminta tinggal di dalam pesawat.

Namun, transit di Douala mengambil masa lebih dari satu jam. Masuk jam kedua. Kami mula resah. Penumpang di kelas ekonomi sudah buat perangai. Ada yang mabuk. Mengamuk ingin berpindah ke kelas perniagaan.

Kami bertanya dengan pramugari. Katanya kabus tebal menyebabkan perjalanan tidak dapat diteruskan. Sementelah hari sudah gelap. Nyamuk juga ada yang berjaya menyelinap masuk ke dalam pesawat. Bahaya nyamuk di Cameroon kerana ada spesis pembawa malaria. Walaupun kami sudah mengambil langkah pencegahan, namun masih perlu hati-hati.

Tiba-tiba pengumuman dibuat meminta semua penumpang keluar dari pesawat. Sekali lagi penumpang warganegara Cameroon mengamuk. Terasa ingin pecah pesawat. Dengan suara mereka yang kuat dan ada yang dalam keadaan tidak rasional.

Katanya mengikut peraturan, pesawat ini tidak lagi boleh meneruskan perjalanan kerana sudah sampai had masa penerbangan. Rupanya setiap pesawat dan kru penerbangan ada tempoh masa bekerja dalam setiap tugasan. Kerana itulah kami terpaksa keluar.

Namun, apa yang akan berlaku selepas ini? Adakah Swiss Air akan berikan kami tempat penginapan. Hari sudah malam. Bagaimana pula dengan perjalanan kami ke Yaounde? Esok pagi-pagi kami dijadualkan bermesyuarat dengan organisasi penting di negara tersebut. Mahukah Pegawai Tertinggi itu mengubah jadual kerjanya? Berbagai-bagai persoalan bermain di fikiran kami.

Dalam perjalanan keluar, kami terpenrangkap di tengah-tengah laluan atau jambatan yang menghubungkan pesawat dengat terminal. Kenapa?

Terminal tidak boleh menerima kami kerana pesawat kami tidak diranacang untuk menurunkan penumpang sebegitu ramai dan kakitangan tidak mencukupi untuk menguruskan imigresen dan penerimaan bagasi. Aduh. Musibah apakah ini.

Dalam keadaan terperangkap itu, tangisan kanak-kanak yang kepanasan dan lemas sangat merimaskan. Keadaan sesak membuatkan sukar untuk bernafas. Lebih-lebih lagi kami yang dari Asia bertubuh kecil. Ditambah pula dengan teriakan marah-marah dan tumbukan ke dinding. Hampir roboh dinding kaca yang memisahkan kami dengan terminal. Kami seperti di dalam akuarium yang sesak.

Saya pegang erat tangan rakan sekerja. Air mata menitis. Saya berkata, "Kalau terjadi apa-apa pada saya, tolong telefon suami dan ibubapa saya." Berderai air mata kami bersama.

Setelah lebih kurang satu jam setengah terperangkap, kami dibenarkan keluar setelah Swiss Air berjaya mendapatkan beberapa hotel penginapan untuk kami.

Kami bergabung dengan tim konsultan yang akan sama-sama ke mesyuarat esok. Mereka memberitahu bahawa jadual mesyuarat berjaya diubah ke esok petang. Mereka turut mendapat informasi bahawa pesawat ini bukan tidak boleh meneruskan perjalanan, tetapi kerana jadual tertunda, lapangan terbang Yaounde sudah ditutup dan tiada kakitangan yang sanggup kerja lebih masa.

Alasan yang sangat relevan.

Kami beransur ke hotel yang telah diberikan menaiki teksi. Tips menaiki teksi bersama wanita berbangsa asing di negara seperti ini adalah dahulukan lelaki memasuki kereta dan kemudian wanita. Ini untuk mengelakkan kejadian culik.

Di hotel, kami berbincang bagaimana meneruskan perjalanan esok hari. Saya sambung ceritanya lain kali.

Sekian.

Ayu

No comments:

Post a Comment