Monday 6 February 2017

Cara Masak Cepat Menggunakan Sambal Bawang Ekspres

Teks dan Foto: Noorfiza Ayu Azmi
Email: noorfizaayu@gmail.com
Blog: www.noorfizaayu.blogspot.com

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum dan selamat sejahtera buat semua pengunjung blog ini.
Saya nak nyanyi sikit lah.

"Ekspres rakyat
cepat-cepat, jangan terlambat
expres rakyat
jam delapan akan berangakat"

Pernah dengar lagu ini? Lagu nyanyian M Nasir, A Ali dan S Shahlan yang dikeluarkan pada tahun 1982, tahun kelahiran saya. Lagu yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Masih relevan.

Entri kali tiada kaitan dengan keretapi Ekspres Rakyat. Tapi ada kaitan dengan ekspres sahaja.

Saya nak berkongsi cara-cara membuat sambal bawang dalam kuantiti yang banyak. Kemudian boleh dibahagikan kedalam beberapa bekas kecil. Simpan di dalam peti ais bahagian beku.

Bahan-bahan beserta sukatannya adalah seperti berikut:

  1. 22 sudu besar cili kering yang sudah dikisar
  2. 22 biji bawang besar (saiz sederhana)
  3. 22 ulas bawang putih (saiz sederhana
  4. Halia
  5. 88 sudu besar minyak masak
  6. Garam, gula, air asam jawa
Eh, pelik sukatannya. Begitu tepat gandaannya. Uniknya kerana sukatan ini berdasarkan pengalaman saya membuat sambal ini berkali-kali. Minyak masak tu masih bergantung kepada saiz bawang yang digunakan. Pandai-pandai la anda betulkan. 

Cara-caranya.
1. Cili kering dipotong, direbus, ditapis untuk membuang bijinya dan dikisar. 


2. Bahan (2), (3) dan (4) dikisar bersama. Saya namakan bahan tumisan.




3. Masukkan minyak ke dalam kuali. Tumis bahan tumisan sehingga naik bau.
4. Kemudian masukkan cili kisar. Perhatikan gambar. Untuk mendapat sambal yang sedap dan masak sempurna, pastikan sambal tenggelam di dalam minyak.


5. Masak dengan api yang sederhana. Kebiasaannya dapur akan berkecah dek kerana percikan sambal. Dicadankan anda menggunakan penutup begini untuk memudahkan kerja membersih dapur.

 6. Kacau sekali sekala untuk mengelakkan sambal hangus atau berkerak di bahagian bawah. Ini juga dapat memastikan sambal masak sekata. Masak sehingga naik minyak. Perhatikan gambar di bawah bagaimana rupa sambal yang sudah mula naik minyak 


7. Perasakan dengan air asam jawa, garam dan gula secukupnya.
8. Apabila sudah siap, tutup api dan biar sejuk pada suhu bilik.
9. Masukkan dalam bekas-bekas kecil dan simpan di dalam peti ais bahagian sejuk beku.




10. Bila balik kerja nanti, keluarkan sambal ini untuk dimasak pelbagai jenis masakan. Ayam sambal, sotong sambal, ayam kicap, perncah mi goreng dan sebagainya.

Anda hanya penat sekali dan menikmati masakan enak berkali-kali.

Ketika saya bekerja di luar negara dahulu, saya tinggalkan sambal ini buat santapan suami saya. Dengan kombinasi teknik memasak cepat menggunakan periuk kukus elektrik, beliau dapat menikmati lauk bersambal selagi stok masih ada.

Tidaklah dia merindui masakan saya sepanjang saya bepergian.

Mudah bukan.

Cubalah untuk keluarga tersayang.

Sekian.

Ayu

No comments:

Post a Comment