Saturday 4 February 2017

Apa Status Azam Tahun Baru Anda?

Teks: Noorfiza Ayu Azmi
Email: noorfizaayu@gmail.com
Blog: www.noorfizaayu.blogspot.com

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua pengunjung blog ini.

Sedar tak sedar sudah 36 hari kita di tahun 2017. Wajar kiranya untuk muhasabah status azam untuk perbaiki diri pada tahun baru ini.

Baru-baru ini saya baca satu artikel di www.cnbc.com bertajuk "Mantan Jurulatih Kerjaya di Google Berkongsi Tips Secara Visual Bagaimana Menentukan Apa Yang Perlu Dilakukan Dalam Hidup Seseorang".

Dalam videonya, Puan Jenny Blake mencadangkan seseorang boleh melakar minat dan matlamat mereka dalam bentuk carta minda.

Tulis tahun di tengah-tengah carta minda dan kembangkan cabang-cabang kepada beberapa kategori utama seperti perniagaan, kehidupan peribadi, kesihatan, kecergasan, kemahiran dan sebagainya.

Kemudian, kembangkan setiap cabang kategori dengan meletakkan matlamat yang ingin dicapai pada tahun tersebut. Bagaimana menentukan matlamat? Tanya pada diri sendiri soalan seperti berikut:

  1. Apa yang penting bagi saya (pada setiap kategori)?
  2. Apakah yang saya gambarkan sebagai sebuah kejayaan?
Sebagai contoh, untuk kategori kehidupan peribadi, anda boleh tulis matlamat seperti "Berjumpa dengan kawan-kawan sekali sebulan" atau "Mendaftar ke kelas muzik".


Rujuk ilustrasi di bawah.


Setelah saya membaca artikel ini, saya reflek pada diri sendiri. Ya, saya sudah pun mengaplikasi cadangan ini ketika menulis azam saya pada awal tahun ini.

Saya membahagikan azam saya kepada beberapa kategori iaitu rohaniah, kesihatan dalaman, kecergasan, kecantikan, pemakanan sihat, menulis, membaca, masa bersama keluarga, bercuti dan peningkatan kemahiran diri.

Cumanya, saya perincikan lagi bahagian matlamat dan membuat jadual harian untuk memantau kemajuan setiap azam saya.

Belajar dan berlatih menulis dengan konsisten adalah salah satu hasrat saya pada tahun ini. Namun, atas faktor kesihatan, sudah hampir dua minggu tidak menulis. Terasa seperti setahun. Tidak senang duduk dibuatnya. Terasa seperti ada perkara yang belum selesai. Lebih-lebih lagi melihat rakan-rakan sekelas yang lebih maju ke hadapan. Ditambah pula apabila melihat jadual pemantauan yang banyak angka kosong (bermaksud tidak menulis). Bak kata orang barat 'The peer pressure is real'.

Betullah orang kata untuk menjadikan sesuatu perbuatan itu sebagai tabiat, kita harus konsisten atau dalam Islam disebut istiqomah. Patutlah guru menulis saya Puan Masayu Ahmad dan Encik Zamri Mohamed selalu berpesan supaya tidak meninggalkan catatan harian dan curi masa lima ke sepuluh minit sehari untuk menulis.

Jom kita sambung menulis. Ada banyak cerita yang saya ingin kongsikan.
Betullah menulis itu suatu terapi minda.

Sekian.

Ayu

No comments:

Post a Comment